Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Abu Bakar Mohamad Diah bersyukur tindakannya memuat-naikkan beberapa keping gambar jalan berlubang di Jalan Bukit Berlian, Melaka berakhir dengan semua lubang berkenaan sudah ditampal.
“Doa saya di sini semalam sudah dimakbulkan oleh Allah maha esa.
“Tampalan ini hanya untuk sementara sahaja. Hari Khamis akan diturapkan sepenuhnya.
“Terima kasih... warga Tangga Batu amat menghargai kerjasama jabatan yang telah menampal jalan ini kurang daripada 12 jam dari waktu saya berdoa di sini semalam,” katanya yang juga adalah ahli parlimen Tangga Batu di laman Facebook hari ini.
Abu Bakar, minggu lalu memuat-naikkan enam keping gambar di lokasi sama di laman sosial Facebook miliknya, tetapi masalah yang dialami lebih sebulan oleh penduduk kampung itu tidak mendapat pembelaan.
Semalam, beliau bertindak duduk di tengah jalan berlubang di jalan itu sambil berdoa.
Bagaimapun ada juga warga maya yang memberikan ulasan dan tanggapan negatif berhubung apa yang dibuat oleh pemimpin Umno itu.
Mengulas lanjut, Abu Bakar berkata tanggungjawabnya kepada rakyat, khususnya pengguna yang melalui jalan itu kini selesai.
“Saya mesti rajin. Kita kena buat kerja berfaedah. Warga Tangga Batu sentiasa di hati,” tulisnya di Facebook.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, dirinya mempunyai cara tersendiri dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat, khususnya penduduk Tangga Batu dan bukannya mahu menuding jari kepada pihak lain.