Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong menafikan meramalkan Umno akan kecundang dalam pilihan raya umum akan datang, seperti didakwa seorang pemimpin DAP.
Sehubungan itu, katanya lagi, beliau telah meminta harian berbahasa Mandarin itu menyemak kembali rakaman wawancara dengannya dan membuat penjelasan segera.
“Sebenarnya saya beri wawancara dengan beberapa akhbar Cina sebelum Tahun Baru Cina. Dan soalan ditanya (oleh akhbar-akhbar itu) tidak banyak berbeza.
“Ia soalan berbentuk andaian. Saya ditanya apa akan jadi jika Tun Dr Mahathir (Mohamad) tidak menang cukup kerusi.
“Dan saya kata semua kemungkinan boleh berlaku. Politik adalah seni segala kemungkinan. Tetapi saya tidak kata Umno akan kalah,” katanya.
Penjelasan itu dibuat selepas Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong menghentamnya sebagai terperangkap dalam “kotak politik Cina” ketika masyarakat itu sudah menuntut Malaysia yang lebih baik untuk semua kaum.
Menurut Liew, Wee dalam wawancara dengan China Press berkata BERSATU mungkin bekerjasama dengan “pembangkang terkuat” Umno jika tidak cukup kerusi dalam kerajaan baru HARAPAN.
Menurut Liew juga, laporan itu menyebut jika MCA tewas dan Umno kekal berkuasa, DAP mungkin bekerjasama dengan Umno dan menggantikan tempat MCA sebagai sekutu utamanya.
Wee juga dikatakan menyifatkan pilihan raya umum akan datang sebagai referendum masyarakat Cina terhadap Mahathir untuk menyampaikan mesej “orang Cina tidak percaya beliau”, walaupun tempoh pentadbirannya dihadkan.
Sementara itu, dalam kenyataannya selepas itu, Wee berkata mendakwa wawancaranya dengan China Press diulas kembali tanpa konteks demi kepentingan sesetengah pihak.
Sekali lagi menafikan berkata Umno akan kalah PRU, beliau mendesak China Press dan Malaysiakini menyiarkan kembali wawancara itu secara penuh, termasuk soalan-soalan berbentuk andaian yang diajukan padanya.