Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bank Negara: Rumah di Malaysia masih tak mampu dibeli

Malaysia menghadapi kekurangan rumah mampu milik untuk memenuhi keperluan ramai, dengan Bank Negara Malaysia menerusi laporan yang lengkap dengan data menunjukkan rumah di negara ini ‘tidak mampu dibeli’ pada 2016 oleh standard antarabangsa.

Untuk mengatasinya, bank pusat itu menggariskan lima strategi, termasuk memusatkan inisiatif perumahan mampu milik, menubuhkan pangkalan data perumahan bersepadu dan pendaftaran pemohon untuk merancang dan memperuntukkan rumah mampu milik.

Bank Negara juga mencadangkan halangan kos kepada perumahan mampu milik dikurangkan, memulihkan lembaran imbangan isi rumah dengan meningkatkan celik kewangan selain meningkatkan pasaran sewaan dengan mengukuhkan rangka kerja perundangan.

"Isu kemampuan untuk membeli rumah sebahagian besarnya disebabkan oleh penawaran dan permintaan yang tidak sepadan, serta pertumbuhan pendapatan yang lebih perlahan," kata Bank Negara.

Bank Negara menganggarkan harga rumah mampu milik di negara ini ialah pada maksimum RM282,000 berdasarkan pendekatan beban kos perumahan.

"Bagaimanapun, median harga rumah sebenar ialah RM313,000 (pada 2016), jauh melepasi kemampuan kebanyakan isi rumah, dengan pendapatan median isi rumah kebangsaan hanya RM5,228," katanya dalam buletin suku tahunannya yang dikeluarkan hari ini.

Bank pusat itu menegaskan bahawa kekurangan bekalan rumah mampu milik terus menjadi masalah.

Ia menggariskan tiga faktor yang menyumbang kepada perumahan tidak mampu dimiliki di Malaysia iaitu bilangan penawaran dan permintaan yang tidak sepadan, pelancaran baru yang jauh melepasi tahap kemampuan membeli serta peningkatan harga rumah mengatasi pendapatan isi rumah.

"Sejak 2012, bekalan rumah baru semakin berkurangan berbanding pertambahan permintaan oleh isi rumah," kata Bank Negara.

Sepanjang tahun berkenaan hingga suku pertama 2017, hanya 24 peratus daripada pelancaran baru dijual pada harga RM250,000 atau kurang, dan hanya 35 peratus isi rumah Malaysia yang mampu memilikinya.

Buletin itu juga menyebut sejak 2007 hingga 2016, harga rumah meningkat 9.8 peratus manakala pendapatan isi rumah hanya meningkat 8.3 peratus.

Kedudukan yang tidak seimbang itu paling ketara dari 2012 hingga 2014, apabila pertumbuhan harga rumah (26.5 peratus) meningkat lebih sekali ganda daripada tahap pertumbuhan pendapatan (12.4 peratus).

Susulan penawaran dan permintaan yang tidak sepadan itu, Bank Negara berkata tahap jumlah hartanah kediaman yang tidak terjual di Malaysia mencatat paras tertinggi dalam tempoh sedekad, dengan 146,497 unit pada suku kedua (Q2) 2017, berbanding 130,690 unit pada suku yang sama pada tahun sebelumnya.

Pada suku kedua 2017, hampir 82 peratus unit tidak terjual berharga melebihi RM250,000.

Bank pusat itu juga berkata pembiayaan terus disediakan untuk pembelian rumah bagi peminjam yang layak, dengan lebih daripada 70 peratus pinjaman perumahan diberikan kepada pembeli kali pertama dan hampir dua pertiga daripada pinjaman perumahan baru disalurkan kepada pembelian rumah berharga kurang daripada RM500,000.

Bagi penawaran, faktor struktur dan kitaran dalam pasaran perumahan di Malaysia mengakibatkan kegagalan pasaran menyediakan bekalan perumahan mampu milik yang mencukupi kepada orang ramai, manakala dari segi permintaan, pertumbuhan pendapatan isi rumah tidak sepadan dengan kenaikan harga rumah.

"Keadaan celik kewangan yang rendah dalam kalangan majoriti isi rumah Malaysia dan keutamaan budaya ke arah pemilikan rumah berbanding menyewa, turut menyumbang kepada permintaan tinggi untuk pembelian rumah," katanya.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS