Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Walaupun berada di dalam wad, Tun Dr Mahathir Mohamad masih mampu berbincang mengenai parti dan nasib negara, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketika melawat pengerusi BERSATU di Institut Jantung Negara (IJN) Isnin lalu, Muhyiddin berkata Dr Mahathir kelihatan ceria dan sihat.

Sehubungan itu, Muhyiddin meminta kepada seluruh rakyat Malaysia agar terus mendoakan bekas perdana menteri selama 22 tahun itu supaya bertambah sihat.

"Alhamdulillah saya ada ziarah Tun di IJN. Nampak sihat, ceria.

"Cuma saya ada beri nasihat sikit, saya bukan doktor tetapi sebagai presiden. Tun ambil lah masa lebih sikit untuk berehat. Urusan parti ramai tokoh lain boleh jalankan.

"Tapi semangat Tun luar biasa, duduk di hospital pun masih boleh bincang mengenai parti, nasib negara," katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Muhyiddin juga menambah, Dr Mahathir akan berehat di rumahnya selepas ini sehingga beliau benar-benar sihat untuk bekerja.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan Dr Mahathir yang dimasukkan ke IJN pada Jumaat lalu kerana mengalami jangkitan di dada susulan masalah batuk.

Beliau pernah dimasukkan ke IJN beberapa kali, dengan kali terakhir pada Ogos 2016 atas sebab yang sama.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS