Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan dilihat masih sukar menemui titik persefahaman sekali gus merencatkan pembahagian kerusi dewan undangan negeri (DUN) antara parti komponen di negeri itu.
Difahamkan sudah enam kali HARAPAN Kelantan mengadakan pertemuan, namun isu pembahagian kerusi tidak berjaya diputuskan kerana 'perebutan' di kalangan pimpinannya.
Justeru, mereka dikatakan terpaksa membawa perkara itu ke peringkat nasional seperti mana rundingan kerusi parlimen dilakukan.
Menurut sumber, daripada 45 DUN masih tinggal 14 kerusi yang belum diberi kata putus untuk diberi mandat kepada mana-mana parti dalam HARAPAN.
Antaranya seperti DUN Demit, Kemahang, Tawang, Kijang dan Kemuning.
Setakat rundingan yang berlangsung pada 10 Februari lalu, dikatakan Parti Amanah Negara (AMANAH) ditetapkan akan bertanding di 17 DUN.
Lapan kerusi pula akan menjadi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), lima kerusi ditetapkan untuk PKR dan satu kerusi diisi DAP.
Bagaimanapun, baki 14 kerusi lagi belum dapat diselesaikan kerana berlaku tuntutan bertindih antara parti-parti berkenaan.
Antaranya sembilan kerusi melibatkan pertindihan antara AMANAH dan BERSATU, tiga kerusi menjadi rebutan antara AMANAH dan PKR dan dua kerusi antara BERSATU dan PKR.
Sementara itu Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa menjelaskan, isu pembahagian kerusi antara HARAPAN negeri itu tidak terlalu kritikal.
Menurutnya, tiga aspek utama diberi penekanan dalam menentukan parti mana akan bertanding di satu-satu kerusi iaitu kewibawaan calon, kekuatan kewangan dan jentera.
"Aspek utama yang diberi penekanan itu menjadi asas dalam rundingan yang dibuat dan kita yakin ia dapat diselesaikan dengan baik," katanya kepada Malaysiakini.
Tambahnya, meskipun pembahagian belum selesai, rundingan diadakan berlangsung dalam keadaan penuh harmoni antara rakan-rakan parti.
"Kalau ada sekali pun kerusi yang sukar dibuat keputusan tidak melibatkan banyak kerusi dan perkara itu akan dibawa ke pimpinan pusat," katanya.
Ketua BERSATU Kelantan, Datuk Kamaruddin Mohd Noor pula mengesahkan, setakat ini sudah lebih separuh kerusi berjaya diselesaikan.
"Kita mulakan perundingan pada 1 Februari lalu, baru 13 hari dan kalau ikutkan tempoh yang diberi kepada HARAPAN negeri sudah tamat.
"Tetapi kita masih diberi ruang untuk melanjutkan tempoh rundingan atau menyerahkan kepada pimpinan pusat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.