Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr Rajah Rasiah dinobat Profesor Ulung Negara 2017

Pakar ekonomi Prof Dr Rajah Rasiah dari Universiti Malaya hari ini dinobatkan sebagai Profesor Ulung Negara 2017.

Ketika mengumumkan penganugerahan itu, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata Rajah bukan sahaja dikenali di Malaysia, tetapi turut gah di Indonesia, Thailand, Vietnam dan Laos berdasarkan hasil penyelidikan ekonominya yang dicerminkan secara nyata dalam polisi kerajaan berkenaan.

Rajah menerima pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa antaranya ‘Brain Gain Award’ (2004), ‘Distinguished Researcher Award’ (2012), Pemacu Penyelidik (2014), ‘Celso Furtado Prize’, ‘World Academy of Sciences’ (2014), Rajawali Fellowship, Harvard University (2014) dan ‘Best Consultancy Award’ (2017).

“Beliau juga telah melahirkan lebih daripada 30 doktor falsafah yang antaranya kini merupakan profesor di universiti tempatan malah juga menjadi peneraju syarikat swasta,” kata Idris.

Idris berkata Profesor Ulung Negara adalah ikon yang disanjung dan diteladani kesarjanaannya oleh masyarakat.

Beliau turut mengumumkan dana berbentuk geran penyelidikan bernilai RM300,000 kepada penerima Anugerah Profesor Ulung.

“Menerusi geran penyelidikan ini, saya yakin Profesor Ulung boleh merancang penyelidikan-penyelidikan berimpak tinggi dan dalam masa yang sama menggalakkan serta menginstitusikan idea bakat-bakat muda yang berpotensi untuk menyumbang dengan aktif kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata penganugerahan Profesor Ulung Negara juga adalah antara usaha supaya kelompok ahli akademik dan penyelidik tersohor terus merintis jalan untuk melahirkan pemenang Hadiah Nobel suatu hari nanti.

Sementara itu, Rajah ketika ditemui pemberita, berkata beliau akan memanfaatkan hadiah dana itu untuk berkongsi ilmu yang dimiliki dalam bentuk buku dengan bahasa yang mudah difahami rakyat.

“Memandangkan saya ada hubungan yang baik dengan penerbit-penerbit antarabangsa itu merupakan antara matlamat saya dalam menggunakan hadiah dana yang diberikan,” katanya.

Beliau juga berhasrat untuk membantu negara dalam menghadapi gelombang Revolusi Perindustrian 4.0 dengan menggunakan pengetahuan yang dimiliki. -Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS