Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahagian Kota Bharu menyuarakan rasa tidak puas hati mereka terhadap kekangan yang dihadapi parti itu termasuk dalam isu pembahagian kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang didominasi Parti Amanah Negara (AMANAH).
Rasa tidak puas hati itu disuarakan naib ketuanya, Mohd Nor Hashim Che Min, bersama ketua pemuda Nik Mohd Adhwan Nik Haris dan ketua srikandi bahagian, Normala Ab Kadir yang tampil bersama hari ini.
Kata mereka dengan apa yang berlaku sekarang BERSATU dirasakan tidak mempunyai masa depan cerah.
Mohd Nor Hashim mendakwa, banyak perpecahan dalaman berlaku pada parti itu, sekali gus memberi kesan kepada rakan-rakan parti komponan Pakatan Harapan (HARAPAN).
Turut disuarakan mereka ialah dakwaan bahawa DAP dilihat lebih menonjol.
"Masalah utama (berlaku) dalam HARAPAN itu sendiri, DAP lebih menonjol daripada parti lain, kita takut ini berlaku.
"Di Kelantan ini BERSATU berebut kerusi dengan AMANAH, masing-masing nak letak calon, belum selesai lagi dah berbulan-bulan," katanya katanya pada sidang media di Kota Bharu, hari ini.
Apa nak jadi nanti
Setakat ini pembahagian kerusi DUN Kelantan dipercayai belum dimuktamadkan kerana rundingan di kalangan anggota komponen HARAPAN masih berlangsung.
Bagaimanapun mengikut pembahagian kawasan parlimen, BERSATU ternyata mempunyai kelebihan di Kelantan kerana diberi tujuh kerusi membabitkan Pasir Puteh, Ketereh, Bachok, Jeli, Gua Musang, Machang dan Tumpat.
AMANAH pula akan turun bertanding di lima kerusi parlimen membabitkan Rantau Panjang, Pengkalan Chepa, Kubang Kerian, Kuala Krai dan Kota Bharu, manakala PKR di Pasir Mas dan Tanah Merah.
Baca: Tak terpilih jadi calon itu ketentuan Allah
Kata Mohd Nor BERSATU berharap mereka diberikan sekurang-kurangnya satu kerusi DUN di bawah Kota Bharu, namun ia nampak terhalang apabila AMANAH bercadang menurunkan calonnya di situ.
Tiga kawasan DUN di bawah Kota Bharu ialah Tanjung Mas, Kota Lama dan Bunut Payung.
Sementara itu Mohd Nor berkata, situasi semasa dialami BERSATU itu membimbangkan mereka kerana masih berdepan masalah pendaftaran.
Keadaan itu katanya memungkinkan parti terbabit diharamkan atau dibubarkan.
"BERSATU sendiri ada masalah kritikal yang belum selesai dengan ROS. Bagi saya BERSATU akan diharamkan dan digantung.
"Apa akan berlaku kepada ahli-ahli BERSATU. (Jika) kita bertanding atas tiket PKR, perjuangan asal sudah jadi tidak betul," katanya.
Bagi Normala pula, beliau menegaskan mesyuarat agung BERSATU yang diadakan sebelum ini tidak mengikut prosedur.
"Ada yang patut dipanggil tetapi tidak dipanggil, aduan semua itu betul. Saya pun hadir, tapi elok dibuat sekali lagi," katanya ringkas sambil menjelaskan BERSATU Kota Bharu mempunyai sekitar 1,300 ahli.
Sementara itu, Malaysiakini sedang mendapatkan respon daripada kepimpinan BERSATU dan HARAPAN Kelantan berhubung perkara yang dibangkitkan.