Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menepis dakwaan bahawa akan berlaku penipuan dalam pilihan raya akan datang.
Katanya, dengan sistem pengundian yang telah ditambah baik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak memungkinkan perkara itu terjadi.
“Kita tak boleh tipu sebab proses pilihan raya sangat ketat. Jika kita tipu, kerajaan Selangor masa ini juga tidak sah dan BN tidak akan kalah di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.
“Kita tidak tipu, kita tubuh kerajaan berdasarkan undi daripada rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Gerakan Belia 4B Malaysia dan Karnival Sukan Muhibah 2018 di Homestay Banghuris di Kampung Ulu Chucoh hari ini.
Najib yang berucap di hadapan lebih 10,000 golongan Belia 4B turut mengecam “pemimpin dulu” dan menegaskan pendekatan yang dibawanya ketika ini lebih terbuka.
“Sebab itu saya pilih pendekatan berbeza daripada pemimpin dulu yang nak kembali semula.
“Saya memilih Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang datang dari orang muda. Sejak dialog TN50 tahun lalu sehingga kini, kita sudah dapat 80,000 aspirasi orang muda.
“Kita akan tapis dan cantumkan dalam bentuk blueprint orang muda,” katanya tanpa menyebut nama pemimpin yang dimaksudkan.
Keterbukaan untuk anak muda
Najib kemudian mengkritik tindakan Dr Mahathir yang membuat Akta Keselamatan Negara (ISA) yang menurutnya antara lain turut menjadikan anak muda sasaran melalui Operasi Lalang (Ops Lalang).
“Apabila saya jadi perdana menteri saya hapuskan ISA, jangan dikongkong (suara anak muda).
“Kita ikut kehendak negara dan saya bagi suara bebas untuk orang muda. Dulu (kalau) kritik masuk ISA, (ditangkap melalui) Ops Lalang.
“Saya tak buat Ops Lalang sebab saya buat lebih banyak dasar keterbukaan untuk anak muda,” katanya.
Untuk rekod, seramai 106 aktivis dan ahli politik pembangkang telah ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1987.
Dalam ucapannya, Najib turut menyentuh pembangunan dan perubahan terancang yang menurutnya dilaksanakan kerajaan BN berdasarkan gagasan yang datang daripada isi hati orang muda.
Najib berkata, sehingga hari ini sejumlah 80,000 aspirasi orang muda untuk Transformasi Nasional 2050 (TN50) sudah dikumpulkan dan akan ditapis untuk pelan tindakan orang muda berkenaan.
"Asas utama saya melahirkan gagasan TN50 adalah untuk apa? Untuk siapa? Bukan untuk saya tapi untuk orang muda.
"Hari ini tanggungjawab sebagai pemimpin adalah bukannya bermain politik atau buat dasar jangka pendek dan populis tetapi mesti buat dasar daripada isi dan gagasan besar untuk memberi harapan kepada orang muda.
"Kalau kerajaan terus dipimpin BN, impian orang muda akan dapat kita penuhi, InsyaAllah," katanya.