Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengurusan baru Proton diskriminasi bumiputera, kata Pekema
Diterbitkan:  Feb 11, 2018 6:42 PM
Dikemaskini: 10:49 AM

Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) mendakwa dasar Proton di bawah pengurusan baru syarikat menyebabkan pengedar bumiputera berdepan diskriminasi dan kemungkinan akan diganti oleh pengedar bukan bumiputera sepenuhnya.

Presiden Pekema Datuk Zainuddin Abdul Rahman membuat dakwaan itu sebagai mengulas dasar Proton yang mengarahkan pengedar menaik taraf daripada pusat 1S (jualan saja) kepada pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) dalam tempoh setahun.

"Orang yang menjaga perancangan dan pembangunan wakil jualan Proton diketuai oleh seorang bukan bumiputera yang tentunya tidak mempunyai jiwa untuk membantu bumiputera.

"Beliau telah memberi berbagai tekanan dan tidak memberi pilihan kepada wakil jualan bumiputera 1S dalam usaha untuk naik taraf kepada 3S. Tidak ada kompromi atau rundingan," katanya dalam satu wawancara Mingguan Malaysia.

Zainuddin mendakwa kebanyakan pusat 3S diuruskan oleh bukan bumiputera sementara pusat 1S kebanyakannya diuruskan oleh bumiputera yang tidak mampu menaik taraf ke 3S dalam tempoh yang singkat.

"Kalau tak ikut syarat ini, mereka akan tukar dengan wakil jualan lain yang kemungkinan besar rata-ratanya adalah wakil jualan bukan bumiputera," katanya dipetik sebagai berkata.

Zainuddin menambah, kos untuk menaik taraf pusat servis menelan kos sehingga RM60 juta termasuk untuk tanah, bangunan dan modal pusingan.

Tahun lalu, syarikat milik China, Geely memperoleh 49.9 peratus saham Proton dalam bidaan untuk membangunkan semula syarikat automatif berkenaan. Proton kini di bawah pengurusan baru yang diterajui Ketua Pegawai Eksekutif Proton Otomobil Nasional Sdn. Bhd. (PONSB), Dr. Li Chunrong sejak November lalu.

Zainuddin turut mendakwa Proton hanya membenarkan pengedar 3S untuk menjual model Boyue yang akan dikeluarkan.

"Kita difahamkan pihak Proton dengan bantuan kerajaan akan membawa masuk sejumlah besar secara complete-built-up (CBU) Boyue dengan insentif istimewa daripada kerajaan bagi menggalakkan jualan Proton di pasaran.

"Malangnya CBU Boyue ini difahamkan akan diberi kepada wakil jualan Proton 3S sahaja. Ini satu lagi diskriminasi secara halus kepada wakil jualan bumiputera 1S yang tidak diberi hak untuk menjual CBU Boyue," katanya dipetik sebagai berkata.

Menurut Zainuddin lagi, tidak mudah untuk menaik taraf pusat 3S kerana banyak prosedur yang perlu dilalui termasuk mendapatkan pemilikan tanah bagi membina pusat servis tersebut.

"Di Lembah Kelang ini terutamanya, mana nak dapat tanah untuk bina bangunan sendiri atas tanah seluas 0.61 hektar (1.5 ekar) seperti ditetapkan pengurusan baru Proton ini.

"Jelas tidak logik. Wakil jualan bumiputera tidak mampu untuk menyewa atau membeli tanah 0.61 hektar (1.5 ekar) tersebut. Akhirnya di Lembah Kelang, saya percaya akan dimonopoli oleh wakil jualan bukan bumiputera," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS