Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS teliti baiah kerana tak tahu apa berlaku lepas PRU14

PAS Kelantan akan meneliti keperluan mewajibkan baiah dalam kalangan calon pilihan raya kerana berpendapat parti itu tidak dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ahmad Yakob berkata, bagaimanapun perkara itu tetap bergantung keputusan Majlis Syura Ulama PAS Pusat.

"Setakat ini kita lihat (keperluan) untuk mengukuhkan jemaah, keperluan itu masih ada. Kita tak tahu selepas PRU14, bagaimana keadaan politik ketika itu. Kita tidak tahu.

"(Ya) paling mencabar, kita tidak dapat terjemahkankan lagi perlu atau tidak, kita sedang melihat keadaannya," katanya kepada media ketika hadir merasmikan Penyampaian Cek Perdana Gerbang Az-Ziwaaj di Kota Bharu, hari ini.

Beliau yang juga menteri besar Kelantan berkata demikian ketika ditanya sama ada PAS Kelantan akan meneruskan baiah cerai talak tiga yang dipraktikkan di negeri itu pada pilihan raya lalu.

Terdahulu, PAS dilaporkan yakin dengan kekuatan dan kesetiaan ahlinya dan akan menggugurkan sumpah baiah melibatkan perceraian talak tiga.

Sumpah berkenaan mewajibkan semua wakil rakyat PAS di Kelantan berbaiah sebelum pilihan raya umum yang lalu untuk memastikan mereka tidak melompat parti dan jika berbuat demikian isteri mereka tercerai dengan talak tiga.

Ketua Dewan Ulamaknya, Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang dipetik sebagai berkata, kandungan sumpah baiah itu akan diselaraskan bagi setiap negeri dan dijangka tidak lagi menyentuh perceraian.

Menurut Mahfodz, tindakan itu diambil kerana PAS tidak lagi berdepan keadaan genting seperti pernah berlaku dalam politik Kelantan.

Sementara itu, Ahmad yang juga timbalan mursyidul am PAS berkata, kepimpinan yang berada dalam PAS bukan semata-mata untuk menjadi calon sebaliknya menyambung legasi dakwah kepimpinan Islam sebagai khalifah.

"Kita sudah tarbiyah kepada mereka (ahli PAS), apabila berada dalam jemaah, dalam situasi senang atau susah perlu istiqomah dalam jemaah, itu yang kita harapkan.

"Setakat ini kita (serah) bergantung kepada keputusan Majlis Syura Ulama PAS, sekiranya perlu kita adakan," jelasnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS