Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Mahathir masuk IJN
Diterbitkan:  Feb 10, 2018 12:02 PM
Dikemaskini: 4:58 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur, semalam.

Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat IJN, pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu mengalami jangkitan di dada susulan masalah batuk.

"Pada masa ini, Dr Mahathir ditempatkan di wad umum. Beliau akan dirawat selama beberapa hari bagi rawatan dan pemantauan," kata kenyataan itu.

Lawatan hanya untuk anggota keluarga terdekat, kata kenyataan itu.

Datin Paduka Marina Mahathir berkata bapanya dalam keadaan baik walaupun perlu ditahan di wad.

"Pagi ini saya melawat bapa. (Keadaan) Beliau baik, cuma perlukan rehat. Beliau akan kembali seperti biasa tak lama lagi," katanya menerusi Twitter.

Sebagai calon perdana menteri HARAPAN, Mahathir, 93, semakin giat turun padang dalam program ceramah dan lawatan.

Beliau pada asalnya dijadual ke Bentong, Pahang, hari ini bagi program walkabout dan ceramah, namun HARAPAN Bentong semalam mengumumkan ia dibatalkan atas nasihat doktor.

Seorang pembantu Mahathir memberitahu Malaysiakini bahawa jadualnya untuk minggu depan juga telah dikosongkan, termasuk mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN pada Selasa ini.

Beliau pernah dimasukkan ke IJN beberapa kali, dengan kali terakhir pada Ogos 2016 atas sebab yang sama.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS