Bekas Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Kamarul Azman Habibur Rahman hari ini mendesak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) supaya berlaku adil dan tegas dalam isu parti itu yang didakwa melanggar perlembagaannya.
Beliau juga meminta ROS supaya tidak takut kepada Tun Dr Mahathir Mohamad serta tidak terperangkap dalam permainan pengerusi BERSATU itu.
Katanya, ROS tidak boleh amalkan sifat pilih kasih di mana bila Tun Mahathir menerajui BERSATU dan Pakatan Harapan, maka layanan istimewa diberikan kepada BERSATU.
"Sepatutnya ini tidak boleh berlaku dan ROS perlu berlaku adil.
"Saya berpendapat Tun Mahathir sudah pun sedar bahawa hayat BERSATU tidak lama kerana parti itu telah melanggar peraturan atau perlembagaannya.
"Jadi beliau sekarang cuba salahkan pihak lain kononnya ada pihak yang cuba sabotaj parti… Tun juga salahkan ROS dengan nyatakan dia tidak terima maklum balas daripada ROS (berhubung pendaftaran BERSATU,” katanya dalam sidang media di Sahah Alam hari ini.
Menurut Kamarul Azman tindakan segera perlu diambil memandangkan lebih 400 laporan telah dikemukakan oleh anggota BERSATU kepada RoS sebelum ini.
Kamarul Azman berkata, ROS sepatutnya menjalankan siasatan terperinci berhubung pelanggaran Perlembagaan BERSATU yang antaranya melibatkan status keahlian, kewangan dan mesyuarat agung tahunan (AGM) pertamanya pada Disember lepas yang didakwa diadakan tanpa terlebih dahulu mengadakan mesyuarat di peringkat cawangan serta bahagian.
Sehubungan itu, beliau menyokong kenyataan bekas Exco Angkatan BERSATU Anak Muda (ARMADA) pusat, Mohamad Taufik Abas semalam yang akan membawa kira-kira 1,000 anggota BERSATU mengadakan protes aman di ibu pejabat ROS sekiranya masih tiada sebarang tindakan diambil terhadap parti itu dalam tempoh dua minggu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah dilaporkan berkata ROS telah memulakan siasatan terhadap BERSATU berhubung status AGM parti itu pada 30 Dis lepas yang mendapat bantahan anggota parti pembangkang berkenaan.
Baca: Zahid sahkan ROS siasat BERSATU
Turut berkongsi pandangan Kamarul Azman adalah bekas pengarah logistik dan keselamatan gerak gempur BERSATU bahagian Shah Alam, Wan Mohammad Ashraf Nasjaruddin yang turut mendesak RoS supaya tidak membiarkan isu perlembagaan BERSATU berlaku tanpa tindakan sewajarnya.
"Sebelum ini, Dr Mahathir menuduh anggota parti yang membangkitkan isu parti sebagai ‘sampah’ sedangkan kami di peringkat akar umbi berjuang untuk parti sejak awal penubuhannya.
"Isu ini dah berlanjutan beberapa bulan masih tidak selesai. Tidak tahulah apa yang ROS takutkan dan kita mahu tindakan sewajarnya diambil dalam isu ini,” katanya.
- Bernama