Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nik Aziz sendiri tak senang dengan DAP, kata Hadi
Diterbitkan:  Feb 8, 2018 2:54 PM
Dikemaskini: 7:00 AM

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa allayarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah menyuarakan rasa tidak senang dengan sikap DAP dan Pakatan Rakyat yang dilihat semakin negatif dalam isu kaum dan agama.

Abdul Hadi berkata, beliau banyak berbincang dengan bekas murshidul am PAS terutama tentang sikap DAP tetapi tidak diketahui orang ramai.

“Sebenarnya beliau sendiri sudah menyatakan tidak senang dengan sikap DAP dan Pakatan Rakyat yang makin terbuka menunjukkan perkara-perkara yang negatif terhadap hubungan agama dan kaum,” katanya dalam wawancara bersama China Press.

Katanya lagi, Nik Aziz konsisten dengan pendirian bahawa DAP dan Pakatan Rakyat tidak boleh melanggar sempadan dengan mengganggu prinsip perjuangan parti lain dalam gabungan itu.

Beliau diminta mengulas tentang hubungan PAS dan Pakatan Rakyat yang semakin memburuk selepas kematian Nik Aziz pada Februari 2015.

Selepas kematian tokoh itu, kata Hadi, DAP menjadi semakin lantang dan malah mendapat sokongan sejumlah pemimpin yang ketika itu masih berada dalam parti itu.

"Mereka menjadi broker untuk memaksa PAS menurut cakap mereka. Tetapi PAS ada prinsip dan kekal sehingga hari ini kerana Islam yang menjadi dasarnya, di samping sikap dan pendekatan yang terbuka.

"Kepimpinan sekarang mewarisi perjuangan terdahulu khususnya Tuan Guru Nik Aziz yang tidak pernah keluar PAS dan meninggal (ketika berada) dalam parti.

"Anggota PAS diajar bahawa pemimpin datang dan pergi, tetapi bahtera Islam yang diperjuangkan terus berlayar," katanya.

Nik Aziz dilihat sebagai tokoh utama dalam PAS yang mempertahankan kerjasama dalam Pakatan Rakyat. Ketika dakwaan kerjasama parti itu dan Umno mula muncul, beliau adalah antara orang paling awal yang bersuara membantahnya.

Malah pada hari kematiannya iaitu pada 12 Februari 2015, pemimpin utama DAP iaitu Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng hadir memberi penghormatan terakhir.

DAP berkuasa, bukan Dr M

Abdul Hadi juga sekali lagi menegaskan DAP sebagai parti yang menguasai Pakatan Harapan (HARAPAN) walaupun selepas Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi pemimpinnya.

"Walaupun pengerusi HARAPAN adalah Mahathir tapi hakikatnya DAP yang berkuasa di belakang tabir," katanya tanpa mengulas lanjut kenyataan itu.

Beliau mendakwa PAS sering diserang HARAPAN dan Mahathir kerana parti itu tidak tunduk kepada mereka.

“Hanya PAS yang tidak terpengaruh dengan perangkap Tun Mahathir dan DAP yang mahu menghapuskan PAS di persada politik," katanya lagi.

HARAPAN ditubuhkan oleh PKR, DAP dan parti serpihan PAS iaitu AMANAH pada 2015. Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) menyusul dua tahun kemudian.

Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri HARAPAN jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

PAS pula belum lagi menamakan calon perdana menteri pilihan mereka namun menyatakan hasrat akan bertanding 130 kerusi parlimen.

Abdul Hadi juga berkata jika gagal membentuk majoriti mudah, parti itu mahu menyertai pembentukan kerajaan dan tidak sekadar menjadi pembangkang yang lemah.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS