Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lelaki bunuh jiran kerana selalu tanya 'bila nak kahwin'
Diterbitkan:  Feb 1, 2018 12:26 PM
Dikemaskini: 4:28 AM

GLOBAL l Gara-gara berang dan sakit hati kerana sering ditanya bila hendak berkahwin, seorang lelaki nekad membunuh jirannya yang juga seorang wanita hamil.

Alias Nunur, 28, membunuh Lis Aisyah, 32 di rumah wanita terbabit pada 19 Januari 2018 lalu di Garut di Jawa Barat, lapor Detik.com.

Pesuruhjaya Polis Garut Budi Satria Wiguna berkata, sewaktu kejadian, Nunur sedang duduk termenung di depan rumah sebelum ditegur Lis.

Lis kemudian menasihatkan pemuda terbabit supaya segera berkahwin.

“Suspek menyatakan bahawa wanita itu berkata ‘cepatlah kahwin, yang lain semua sudah menikah, kenapa kau tak kahwin-kahwin?’.

“Ternyata kata-kata itu menyinggung emosi suspek,” kata Budi Satria seperti yang dipetik media tempatan.

Ekoran teguran tersebut Nunur datang ke rumah mangsa dan Lis tanpa sebarang prasangka mempelawa beliau masuk ke ruang tamu.

Menurut polis, sewaktu mangsa hendak menuju ke salah satu bilik di rumah itu, Nunur mengekori dari belakang lalu menolaknya ke atas katil.

Walaupun difahamkan mangsa cuba melawan dengan menggigit jari suspek, wanita itu tidak berupaya melawan dan dia dicekik hingga mati.

“Suspek sempat mencuri wang mangsa berjumlah 800,000 Rupiah (RM230) dan sebuah telefon bimbit,” ujar Budi Satria.

Suspek seterusnya melarikan diri ke Jakarta namun pihak berkuasa berjaya mengesann dan menangkapnya.

Polis turut menyita beberapa barang bukti lain seperti motosikal, bantal, selipar, baju kemeja dan kain.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS