Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya bangga jadi rakyat Malaysia, tapi...'
Diterbitkan:  Jan 28, 2018 4:58 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata beliau sama sekali tidak malu untuk mengaku sebagai rakyat Malaysia, tetapi marah dengan masalah yang melanda negara ketika ini.

"Baru-baru ini saya dikatakan tak patriotik kerana kononnya malu mengaku sebagai rakyat malaysia. Dakwaan itu tidak benar," katanya menerusi video yang disiarkan di Facebook, hari ini.

Ia berikutan laporan Sinar Harian pada Jumaat lalu yang memetiknya sebagai berkata yang beliau mengaku sebagai rakyat Brunei ketika berada di luar negara, ekoran malu dengan negara yang menurutnya lebih dikenali dengan perkara buruk di mata dunia.

Walaupun setiausaha akhbarnya, Mohd Fisol Jaafar berkata yang akhbar itu telah tersalah petik kenyataan Mukhriz, bekas menteri besar Kedah itu tetap menerima kecaman pelbagai pihak ekoran perkara itu.

Menerusi video itu, Mukhriz berkata beliau mempunyai pelbagai sebab untuk berbangga sebagai rakyat Malaysia, tetapi pada masa sama tidak berpuas hati dengan keadaan semasa negara.

"Saya bangga melihat kejayaan Malaysia sejak merdeka, tetapi marah melihat kejayaan itu dirosakkan kerajaan Umno BN.

"Saya suka menjadi rakyat Malaysia, tetapi malu mempunyai perdana menteri yang mencuri duit rakyat.

"Saya sanggup menggadaikan nyawa untuk mempertahankan Malaysia, tetapi marah apabila kedaulatan negara digadai Najib sendiri," katanya.

Najib didakwa terlibat dalam skandal 1MDB dan didakwa "menjual negara" melalui projek dalam negara yang melibatkan China. Beliau menafikan kedua-dua dakwaan tersebut.

Mukhriz menggesa rakyat agar bersama-sama Pakatan Harapan untuk memulihkan kembali imej negara yang baginya sudah tercemar.

"Jika anda juga bangga dengan engara tetapi malu nama baik kita sebagai rakyat yang tercemar, sama-sama kita tukar kerajaan dan mengorak langkah baru untuk memulihkannya," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS