Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengaku tidak tahu apa-apa berkenaan sepanduk yang tertera logo parti itu dengan ucapan selamat tinggal kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sepanduk itu digantung di Jalan Selatan Utama kira-kira 100 meter dari program ceramah Pakatan Harapan (HARAPAN) di Taman Impian Emas, Skudai malam tadi.
Selain gambar Pengerusi BERSATU Tun Dr Mahathir Mohamad, sepanduk itu tertera tulisan: “Undur Najib! Tun M 4 PM, DSAI (Anwar) bye bye.”
“YAB Tun Dr Mahathir Bin Mohamad Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7” turut tertera di bahagian bawah.
Ketika dihubungi, Setiausaha Agung BERSATU Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkata partinya tidak tahu apa-apa berkenaan sepanduk itu.
Golongan terdesak
Ketua sayap pemuda parti itu pula, Syed Saddiq Abdul Rahmad menuding jari kepada Umno sebagai pihak bertanggungjawab.
“Ia daripada golongan terdesak dalam Umno tapi kini kita lebih bersatu berbanding sebelum ini jadi tak ada apa yang mereka buat boleh memecah-belahkan kita,” katanya kepada Malaysiakini.
Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang akan membuat kemunculan pertama kalinya dalam ceramah malam ini selepas melalui pembedahan.
Komponen parti HARAPAN sejak dulu melihat Anwar sebagai calon perdana menteri namun pemimpin de facto PKR itu berdepan lima tahun larangan terlibat dalam politik kerana menjalani hukuman penjara.
Pada Feb 2015, Anwar dijatuhkan hukuman penjara atas tuduhan liwat, pensabitan yang menurutnya bermotifkan politik. Beliau dijangka dibebaskan Jun tahun ini.
Sebagai kompromi selepas dinamakan sebagai calon perdana menteri HARAPAN, Dr Mahathir setuju memohon pengampunan diraja untuk Anwar sekiranya HARAPAN mengambil alih kerajaan untuk seterusnya memberi peluang kepada Anwar menjadi perdana menteri kelapan.