Bekas menteri Tun Rafidah Aziz yang pernah digelar sebagai "Iron Lady Malaysia" ketika berada dalam kerajaan mempertahankan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang disiasat polis semalam.
"Dia, kak Hasmah saya, hanya guna hak dan kebebasannya untuk mengatakan apa sebenarnya fakta dan untuk menentang ketidakadilan dalam sebuah perarakan dan perhimpunan wanita.
"Dia tidak melibatkan diri dalam apa-apa aktiviti yang Jabatan Keadilan Amerika Syarikat klasifikasikan sebagai kleptokrasi dan (sekarang) dia (Hasmah) disiasat?" kata Rafidah dalam catatan di Facebooknya hari ini.
Rafidah mengulas tindakan polis menyiasat isteri bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu (kanan dalam foto) semalam kerana menyertai perhimpunan 'Wanita Bantah Politik Toksik' pada September tahun lepas.
Rafidah tidak menyatakan apa yang dimaksudkan dengan 'kleptokrasi'.
Namun DOJ Amerika Syarikat di bawah Inisiatif Pengambilan Semula Aset Kleptokrasi memaklumkan sekurang-kurangnya AS$ 4.5 bilion dicuri daripada dana milik negara, 1MDB.
DOJ ingin mendapatkan semula aset bernilai AS$ 1.7 bilion aset bagi pihak pembayar cukai Malaysia yang didakwa diperoleh menggunakan dana dicuri oleh pihak-pihak yang dinamakan termasuk "Malaysian Official 1".
"Kita dah dengar ramai yang lain buat kenyataan perkauman melampau yang menimbulkan ketegangan tetapi tak ada siapa dalam badan berkuasa sedar.
"Bahkan tindakan yang sangat meragukan melibatkan berbilion dan berjuta ringgit oleh sesetengah orang tak diendahkan langsung. Kes tutup. Tiada tindakan diambil.
"Adakah kita dah jadi negara diktator?" soal Rafidah.
Rafidah berkata usaha untuk menyekat kebebasan bersuara adalah sesuatu yang menyedihkan bagi negara ini.
"Jelas, ada yang kehilangan kuasa moral dan etika untuk mentadbir," katanya.