Pakatan Harapan (HARAPAN) menggesa duta negara-negara Eropah ke Malaysia memberi tekanan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar kerajaan melaksanakan pilihan raya yang adil.
Timbalan Presiden HARAPAN Mohamad Sabu berkata demikian ketika mengulas pertemuan antara pimpinan HARAPAN diketuai Tun Dr Mahathir Mohamad bersama 16 duta negara-negara Kesatuan Eropah di Kuala Lumpur, pagi semalam.
"Walaupun mereka tidak boleh campur tangan dalam urusan Malaysia, tapi kita sebolehnya minta satu saja. Kalau boleh mereka beri tekanan kepada Najib supaya membuat pilihan raya yang adil.
"Itu saja yang kita minta sebab kita dengar orang panggil Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang adalah ibu segala pilihan raya," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian Bilik Operasi HARAPAN DUN Pengkalan Pasir, Pasir Mas, semalam.
Mohamad yang juga presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, pertemuan bersama duta negara-negara Eropah itu berlangsung selama dua jam dan diisi dengan sesi dialog.
Katanya, ia memberikan isyarat bahawa mereka yakin HARAPAN mampu membentuk kerajaan persekutuan pada PRU14 yang bakal menjelang tidak lama nanti.
"Kenapa duta negara Eropah tidak bertemu kita melalui satu per satu setiap parti? Sebaliknya mereka berkumpul sekali dan menjemput kami untuk berdialog.
"Saya nampak daripada isyarat itu, mereka nampak bahawa PRU14 kerajaan akan bertukar tangan," katanya.
Tambah beliau, pertemuan secara berkumpulan seumpama itu tidak pernah berlaku dalam pilihan raya sebelum ini.
"Selalunya mereka akan jumpa presiden parti atau setiausaha, ini berlainan (secara berasingan)," katanya.