ULASAN l Terkejut saya apabila diberitahu pemilihan dalam PRU 14 ini tidak lebih dari pemilihan antara Pepsi Cola dengan Coca Cola. Oleh itu apa perlunya kita mengundi.
Begitu rendahkah kebolehan kita berfikir dan membuat bandingan?
Jika ditanya antara Proton dengan Rolls Royce, yang mana satu yang nak dipilih? Mana-mana sahajalah. Apa bezanya antara Proton dengan Rolls Royce. Kedua-duanya kereta bermotor, tak lebih dari itu.
Keputusan yang dibuat ialah untuk tidak membeli Proton atau Rolls Royce. Kereta bermotor boleh terlibat dengan kemalangan. Adalah lebih baik berjalan kaki.
Tetapi semasa melintas jalan sahabat ini tergilis dengan sebuah kereta – kereta Rolls Royce.
Dia tak tahu kerana dah maut. Sebenarnya Rolls Royce itu dipandu pencuri kereta itu.
Ini cerita dongeng. Tetapi cerita ini sama dengan membuat pilihan antara Pepsi Cola dengan Coca Cola.
Sama ada cerita ini dapat difahami atau tidak bergantung kepada kebolehan pembaca. Jika kebolehan rendah maka terjadilah tafsiran seperti yang dibuat terhadap soalan saya berkenaan daging babi.
Maju mundurnya sesuatu bangsa bergantung kepada daya fikir bangsa itu.
Dalam Al Quran berkali-kali terdapat ayat yang menyentuh daya-fikir manusia. Setelah diperdengar wahyu dari Allah, ada yang masih tidak faham dan tidak percaya. Ayat menyoal, tidakkah kamu berfikir, mengguna akal fikiran.
Puak yang tidak dapat fikir ini dikenali sebagai puak jahiliah. Jika kita tergolong dalam puak ini, tak mungkin kita bezakan antara yang bertanding. Dan mustahil kita akan maju.
Tak hairanlah jika kita tidak akan undi dalam pilihan raya 14. Jika memilih antara Pepsi dengan Coca pun kita tak dapat, apatah lagi antara BN dengan HARAPAN. Tentu terlalu berat bagi kita.
Oleh itu jangan pilih. Selamatlah kita.
Selamatkah?
Tepuk dada. Tanya selera.
TUN DR MAHATHIR MOHAMAD adalah bekas perdana menteri yang kini mempengerusikan gabungan pembangkang Pakatan Harapan.
Rencana ini pertama kali dimuat-naik di blognya dengan tajuk "Pepsi atau Coke". Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.