Kumpulan pembaharuan pilihan raya, BERSIH mempersoalkan integriti proses pengundian pos untuk pilihan raya umum ke-14, berikutan kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyebut dengan jelas berhubung pembabitan pemantau pilihan raya bebas dalam proses itu.
NGO itu juga mengkritik SPR kerana membekalkan maklumat "tidak lengkap" dan “sedikit demi sedikit” kepada pengundi di luar negara.
Semalam, Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah mengumumkan bahawa rakyat Malaysia di luar negara boleh mendaftar sebagai pengundi pos, mulai hari ini, melalui laman web suruhanjaya itu.
Menurut Pengerusi BERSIH, Maria Chin Abdullah, pengumuman itu gagal menyebut peranan pemerhati pilihan raya.
"Pada pilihan raya umum lalu, sesetengah pemerhati pilihan raya dibenarkan masuk untuk memantau proses pengundian, sementara ada juga yang tidak dibenarkan.
"Proses telus dan bertanggungjawab juga diperlukan untuk pengundian pos. Tidak ada disebutkan pemantau pilihan raya (dalam pengumuman SPR semalam)," kata Maria kepada Malaysiakini ketika dihubungi hari ini.
Pemantau bertindak mengawasi proses pengundian keseluruhan dan adalah mekanisme keseimbangan.
Pada pilihan raya lalu, pengundi di luar negara memberitahu Malaysiakini bahawa mereka meragui integriti proses pengundian pos selepas mendapati kakitangan kedutaan bertindak sebagai agen SPR. Walau bagaimanapun, mereka memuji pembabitan pemerhati bebas.