Lelaki yang ditahan kerana didakwa mencabul seorang budak perempuan di tapak sebuah funfair di Sungai Petani Kedah muncul di mahkamah pagi ini dengan kesan jahitan di kepala, lapor The Star Online.
Portal itu memetik seorang anggota polis yang tidak dinamakan mengatakan suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda pada jam 3.10 petang semalam dalam keadaan cedera di kepala.
Setakat ini tidak diketahui siapa memukul lelaki berkenaan.
Pagi ini, suspek yang ditahan reman selama tujuh hari dilaporkan tiba di kompleks mahkamah dengan mata lebam dan sekurang-kurangnya enam jahitan di sebelah kanan kepalanya.
Dia disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Lelaki yang juga merupakan kenalan kepada keluarga mangsa berusia tujuh tahun itu dilapor melakukan perbuatan tersebut di tapak sebuah fun fair di Sungai Petani, antara jam 11 malam dan 1 pagi Ahad.
Ibu mangsa memberitahu polis suspek datang ke rumahnya di Sungai Lalang sebelum kejadian dan meminta izin untuk membawa kanak-kanak itu keluar untuk membeli makanan.
Polis memberitahu ibu mangsa menyedari perbuatan suspek melalui klip video yang tersebar dan selepas bertanya, suspek mengaku melakukan perbuatan tersebut serta memohon maaf.
Dalam video berdurasi 20 saat itu, suspek dilihat meribakan kanak-kanak perempuan berkenaan dan menciumnya berulangkali, sambil tangan kanannya berada di dalam baju mangsa.
Selepas video berkenaan tular, aktivis Syed Azmi Alhabshi menerusi Facebook menggesa pengguna media sosial menghentikan sebaran klip video berkenaan dan menggesa mereka membuat laporan polis.