Paling Popular
Terkini

Tun Dr Mahathir Mohamad menafikan dakwaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak bahawa beliau mengabaikan pengangkutan awam kerana “ketaasubannya” dengan syarikat kereta nasional Proton.

"Najib ini bercakap dengan cermin. Tak ada orang yang memahami logiknya," kata Mahathir pada satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, semasa dirinya berundur sebagai perdana menteri pada tahun 2003, negara ini ditinggalkan dalam keadaan yang elok dan Proton pula dari segi kewangan berada dalam kedudukan yang baik sehingga kerajaan “mula bermain-main dengannya”.

Tanpa menyebut sebarang nama, Najib dalam satu majllis di Kuala Lumpur hari ini berkata, ketaasuban seseorang dengan Proton telah menyebabkan pembangunan pengangkutan awam negara ini diabaikan.

"Ketaksuban seseorang dengan idea sebuah kereta nasional - yang kini dipulihkan di bawah pemilikan bersama antarabangsa - menyaksikan Malaysia mempunyai sistem pengangkutan awam yang kurang cekap," kata Najib dalam ucaptama beliau di persidangan 'Invest Malaysia 2018' di Kuala Lumpur hari ini.

Mahathir menyangkal dakwaan itu dengan berkata Proton sangat menguntungkan.

"Projek kereta nasional itu banyak membuat wang, Tanjung Malim dibangunkan dengan wang sendiri.

"Ia adalah usaha yang menguntungkan, dan kemudian sudah tentu kerajaan memutuskan untuk ‘bermain-main’ dengannya," katanya.

Beliau menambah bahawa kerajaan juga gagal membantu Proton, termasuk tidak memberinya geran penyelidikan.

Mengenai masalah legasi lain, Mahathir berkata semasa beliau meletak jawatan, negara berada dalam keadaan baik.

Beliau berkata dirinya sepatutnya meletakkan jawatan pada tahun 1998, namun terpaksa melanjutkan perkhidmatan kerana Krisis Kewangan Asia.

"(Apabila saya letak jawatan) saya tinggalkan negara ini dalam keadaan baik.

"Tetapi selepas dua orang ini ambil alih, kita menghadapi masalah, kita tidak ada 1MDB sebelum ini," kata Mahathir.

Beliau merujuk kepada penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Najib, kedua-dua mereka kemudian menjadi seterunya.

Sementara itu, mengenai gesaan anak lelaki Najib yang mahu beliau kembali ke pangkuan Umno, Mahathir berkata parti itu tidak lagi sama seperti dahulu.

"Ia bukan lagi Umno, ia adalah parti Najib, dia telah merampasnya," katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS