Seorang lelaki yang disyaki menyerang wanita tidak bertudung dalam video yang tular baru-baru ini kini diburu polis.
Memetik laporan Utusan Online hari ini, perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Hamid.
Beliau berkata, dalam kejadian yang berlaku di sebuah perhentian bas di sana pada 6 Januari lalu itu, mangsa tidak mengalami kecederaan dan membuat laporan selepas dinasihati polis.
"Berdasarkan siasatan awal, polis mendapati lelaki berkenaan berusia 30 tahun yang berasal dari Ipoh, Perak dan menghadapi masalah mental sejak 15 tahun lalu," katanya seperti dipetik.
Menurut laporan itu lagi, Nik Ros berkata mangsa bersama kakaknya ketika didekati mangsa yang dalam keadaan tidak terurus dan bertanya mereka mahu pergi ke mana.
Suspek secara tiba-tiba naik angin dan berkata dia 'pantang' melihat wanita tidak memakai tudung, katanya lagi.
“Mangsa yang merupakan rakyat Indonesia dan bekerja di sebuah kilang berhampiran terkejut apabila pengadu menolak kepalanya menggunakan tangan.
“Suspek kemudian beredar selepas dimarahi kakak pengadu dan beberapa rakannya yang berada di perhentian bas berkenaan,” katanya lagi seperti dipetik.
Pada 19 Januari lalu, sekumpulan ahli politik Pakatan Harapan Pulau Pinang membuat laporan polis dan menggesa perkara itu disiasat.
Polis dilaporkan berkata, pada masa itu tiada laporan yang dibuat terhadap insiden itu.