Seorang bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad telah 'merampas' parti itu daripada presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kamarulzaman Habibur Rahman, yang menjadi anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU sebelum keluar parti pada April lalu, berkata yang pimpinan parti pada mulanya ingin menjadikan Muhyiddin sebagai pemimpin utama parti itu.
"Ketika itu majlis pimpinan tertinggi melihat Muhyiddin yang perlu diketengahkan.
"Beliau juga mungkin melihat dirinya sendiri sebagai calon perdana menteri. Beliau merupakan bekas timbalan perdana menteri, maka berdasarkan pengalaman beliau yang paling sesuai," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur, hari ini.
Namun keadaan mula berubah apabila Mahathir mula melibatkan diri dalam penubuhan BERSATU dan akhirnya menjadi pengerusi parti itu, dakwanya lagi.
"Beliau bukan sahaja merampas BERSATU, tetapi juga Pakatan Harapan (HARAPAN).
"Ketika kami mula-mula mahu menubuhkan parti ini, tidak pernah disebut tentang Mahathir akan menjadi perdana menteri (sekali lagi)," katanya lagi.
Sejak penubuhan parti itu, Mahathir sememangnya dilihat lebih menyerlah berbanding Muhyiddin.
Selain kedudukannya sebagai bekas perdana menteri, beliau juga lebih kerap mengeluarkan kenyataan sama ada menerusi blognya mahupun rakaman video di Facebook.
Pada Konvensyen HARAPAN 7 Januari lalu, Mahathir secara rasmi dinamakan sebagai calon perdana menteri HARAPAN untuk PRU ke-14.
Kamarulzaman sebelum ini menyertai pelancaran Empirical Malaysia, sebuah NGO yang dipimpin bekas anggota dan pengasas bersama BERSATU Anina Saadudin.