Utusan Malaysia hari ini menyiarkan laporan yang memetik sumber mendakwa ahli politik yang disyaki "menerima habuan tinggi mencecah jutaan ringgit" dalam projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Menurut laporan akhbar milik Umno itu, sumber tidak bernama itu berkata ia berdasarkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Sumber itu bagaimanapun dilaporkan enggan mendedahkan nama ahli politik yang disyaki terlibat.
"Ada ahli politik yang menerima ratusan ribu ringgit malah ada yang mencecah jutaan ringgit melalui 'jalinan kerjasama' itu. Setakat ini kami sedang mengesan bagaimana salah laku itu berlaku dan bagaimana pembayaran dilaksanakan.
"Namun kami percaya itu berkemungkinan berkaitan pemberian dua lot tanah bernilai tinggi yang menjadi cara pembayaran kepada kajian projek mega itu," kata sumber seperti dipetik laporan bertajuk 'Ahli politik 'makan' besar' itu.
Menurut laporan itu lagi, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki enggan mengulas dakwaan sumber itu, sebaliknya meminta semua pihak memberi masa untuk siasatan dijalankan.
Dua lagi akhbar, Berita Harian dan New Straits Times (NST), juga melaporkan dakwaan yang sama dan turut memetik sumber yang tidak dinamakan.
Berita Harian dengan tajuk "Ada ahli politik terima habuan kajian projek" manakala NST dengan "Politicians received millions of ringgit" (Ahli politik terima jutaan ringgit). Isu ini menjadi laporan muka depan ketiga-tiga akhbar.
Anggota parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin (PKR) dalam kenyatan semalam menyifatkan "serangan terbuka" terhadap projek yang dianggar bernilai RM6.3 bilion itu sebagai "bermotif politik" menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.