ULASAN l Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) mengecam keras sikap 'mafia' Kementerian Pendidikan seperti yang ditonjolkan menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Apakah demokrasi sudah mati di tanah air kita sehingga dengan mudah ruang untuk menyatakan pandangan sering menjadi medan ugutan untuk menakut-nakutkan penjawat awam?
Pada 15 Januari lalu, Pemuda UMNO Perlis juga mengugut penjawat awam, agar golongan itu yang mengkritik dasar kerajaan secara terbuka diberhentikan.
Ini berdasarkan desakan mereka terhadap seorang pegawai kanan di Jabatan Pendidikan Perlis.
Semalam, Mahdzir melakukan perkara sama iaitu sekali lagi 'mengugut' guru agar berwaspada dalam menyuarakan perbezaan pandangan mereka dengan kerajaan, apatah lagi menyertai parti pembangkang.
Ini adalah kali kedua beliau membuat ugutan terbuka kepada guru. Pada 27 Mac tahun lalu, beliau mencabar mana-mana guru yang berbeza pendapat untuk berhenti daripada perkhidmatan.
Memetik lapora Bernama, Mahdzir berkata, "kementerian (pendidikan) tidak berhasrat mengganggu warga pendidik terbabit sehingga perlu dipecat daripada perkhidmatan tetapi meminta mereka bertindak secara profesional selaku penjawat awam”
Ternyata ia adalah ugutan halus oleh menteri pendidikan yang jelas bertentangan dengan nilai-nilai demokrasi.
Bagaimana seorang menteri boleh mengeluarkan kenyataan sedemikian yang bercanggah dengan undang-undang dan mencabuli hak warga hanya kerana perbezaan idealogi politik dan bersuara demi penambahbaikan sistem di negara ini.
Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan jelas memelihara hak bersuara penjawat awam, seperti yang termaktub dalam perenggan (1)(a) iaitu setiap warganegara berhak untuk bersuara.
Jika kritikan tidak dibenarkan, ia bukan saja bercanggah dengan perlembagaan tetapi juga Pekeliling Perkhidmatan Penjawat Awam bil. 9/2010 yang membenarkan mereka untuk berpolitik (asalkan membuat permohonan).
Tentulah lumrah jika ada penjawat awam, misalnya guru, memilih menyertai politik bersama pembangkang dan berhasrat untuk melakukan perubahan yang lebih baik.
Mana-mana kerajan tidak seharusnya menyekat perkara ini.
Namun bukanlah semua guru yang berbeza pandangan ini menyertai politik secara langsung. Ada yang berkecuali dan hanya bersuara ke atas sistem kerana mereka menjadi mangsa atau menerima kesan ekoran sistem yang rosak.
Namun jika bersuara demi perubahan dan penambahbaikan saja terus dilabel antikerajaan, sikap autokratik dan 'mafia' menteri tidak dapat dimaafkan lagi.
Kerajaan sepatutnya mendengar dan terbuka menerima kritikan mereka. Mereka berada di lapangan dan menerima kesan terhadap kelompongan dan kecurangan sistem.
Tetapi mereka dianggap musuh. Sikap ini yang sudah diperlihatkan berulang kali perlu dihentikan.
Pemuda HARAPAN menyarankan guru yang merasakan diri menjadi mangsa untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) demi membela hak mereka sebagai penjawat awam.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) juga perlu memainkan peranan menjaga hak guru, dan menjadi pendesak utama serta membangkitkan masalah yang dihadapi guru yang terbabit dengan isu ini.
Jika berjaya mengambil alih kerajaan, HARAPAN akan memastikan suara guru selaku pembangun anak bangsa akan terpelihara.
Pembebasan cengkaman politik dalam pendidikan akan dijadikan agenda reformasi di bawah HARAPAN.
Dengan itu, penjawat awam dan guru akan terbela dan amalan kritikan demi kebaikan sistem akan berlaku. Kita akan menyaksikan perubahan Malaysia ke arah yang lebih baik dan terbuka.
Ini selaras dengan nilai dan semangat demokrasi dalam Perlembagaan Persekutuan dan Pekeliling Perkhidmatan Penjawat Awam bil. 9/2010.
Apa yang diharapkan adalah agar guru dan penjawat awam berani mengambil peluang melakukan perubahan pada pilihan raya umum akan datang.
MOHD ASHRAF MUSTAQIM BADRUL MUNIR adalah Exco Pendidikan Pemuda HARAPAN. Artikel ini mewakili Pemuda HARAPAN.
Artikel ini adalah pandangan peribadi beliau dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.