Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa ada unsur niat tidak baik dalam tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tidak menjawab permohonan gabungan parti pembangkang itu untuk mendaftar di bawah satu nama dan logo.
"Tidak melulus atau kelulusan lewat yang melemah kami akan menguntungkan BN dan Umno," katanya.
"Ada unsur mala fide, niat tidak baik dalam tindakan Pendaftar tidak jawab permohonan kami," kata Mahathir dalam blognya semalam.
Menurutnya, HARAPAN tidak tahu apa kedudukan mengenainya walaupun telah mengemukakan borang permohonan pendaftarannya tujuh bulan yang lalu.
Pendaftar, katanya, tidak pun menjawab surat mereka, bahkan tidak menyatakan surat permohonan dan surat pertanyaan mereka, diterima atau tidak.
"Perjumpaan dengan pendaftar dua kali tidak menghasilkan penjelasan rasmi (tentang kedudukan permohonan itu). Kononnya ada masalah dengan DAP dan BERSATU.
"Kenyataan juga dibuat oleh Pendaftar kepada orang ramai, tetapi tidak ada surat rasmi menjelaskan apa dianya masalah," kata Mahathir.
ROS sebelum ini berkata ia tidak mengiktiraf pemilihan jawatankuasa pusat (CEC) DAP kira-kira empat tahun selepas ia diadakan.
Ia juga memberi amaran bahawa BERSATU boleh dibatalkan pendaftarannya selepas gagal mengadakan messyuarat agung (AGM) mengikut perlembagaan parti itu.
DAP telah mengadakan pemilihan semula CEC parti itu manakala BERSATU juga telah menyelesaikan AGMnya.
Bekas perdana menteri itu berkata jika HARAPAN tidak mendapat kelulusan terutama bagi simbolnya, maka parti komponennya - BERSATU, DAP, PKR dan AMANAH - terpaksa bertanding menggunakan simbol masing-masing
"Ini akan mengelirukan pengundi," kata Mahathir.
"Sesungguhnyalah sudah tidak ada pentadbiran mengikut undang-undang di Malaysia yang dikuasai oleh (Perdana Menteri) Najib.
Rakyat perlu ambil perhatian terhadap tindakan Najib untuk menafikan hak rakyat memilih kerajaan dalam pilihanraya mengikut Perlembagaan Negara," tambahnya.