NGO Hisbah Malaysia hari ini mengumumkan akan meletakkan Datuk Ezam Mohd Noor di parlimen Shah Alam pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Ezam yang pernah dua kali keluar Umno, keluar PKR sekali dan Parti NewGen juga sekali itu akan bertanding sebagai calon bebas. Ezam mengetuai Hisbah Malaysia, sebuah NGO antirasuah.
Setiausaha Hisbah Malaysia Abdul Ghani Haroon mengumumkan perkara ini dalam suatu kenyataan media hari ini.
"Shah Alam dipilih kerana ia merupakan kawasan pengundi bandar dan majoriti besar Melayu," katanya.
Menurut beliau langkah itu bermatlamat menciptakan kesedaran melawan rasuah dikalangan orang Melayu dan umat Islam.
Lawan AMANAH
"Hisbah sedia berkerjasama dengan semua parti-parti politik dan badan NGO lain di dalam usaha ini melainkan Umno dan BN," katanya.
Ghani berkata Ezam pada awalnya meminta bertanding di parlimen Pekan melawan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyatakan pendirian melawan 'kleptokrasi'.
Bagaimanapun, beliau mendakwa ahli lembaga Hisbah menolak cadangan itu kerana terdapat pemindahan pengundi secara besar-besaran di Pekan.
Jika Ezam bertanding, beliau akan berhadapan dengan Khalid Abdul Samad, calon Parti Amanah Negara (AMANAH) yang mempertahankan kerusinya.
Khalid pada ketika itu anggota PAS mendapat 49,009 undi mengalahkan calon BN Zulkifli Nordin yang mendapat 38,070 undi.
Sebelum ini terdapat laporan spekulasi Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin masing-masing dijangka bertanding di kerusi Parlimen Shah Alam dan Parlimen Hulu Langat pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.
Menurut sumber, nama mereka dan dua kerusi Parlimen berkenaan dikemukakan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya (JPR) Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor.
Manakala itu, Anggota Palimen Shah Alam Khalid Samad pula dilaporkan menolak berita Azmin akan bertanding di kerusinya pada pilihan raya umum ke 14 nanti.
Menyifatkannya sebagai cubaan berniat jahat untuk melaga-lagakan beliau dan Azmin serta parti masing-masing (AMANAH dan PKR), Khalid berkata hal ini telah diputuskan jawatankuasa pilihan raya HARAPAN.