Dengan berpandukan sebuah hadis PAS hari ini menegaskan mereka enggan menyatakan siapakah calon perdana menteri yang diingini selepas pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Sebaliknya kata Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan, PAS akan membuat ketetapan apabila tiba waktu yang sepatutnya.
Namun apa yang pasti PAS tidak memilih Tun Dr Mahathir Mohamad mahu pun Datuk Seri Najib Razak.
Dihubungi Malaysiakini Takiyuddin berkata PAS berpegang kepada hadis Rasulullah SAW yang maksud: Kepimpinan itu milik Allah, Dia (Allah) yang akan mendatangkan sesiapa yang dikehendaki-Nya.
"Sekarang ini PAS tidak memilih Dr Mahathir atau Najib. We will cross the bridge when we get to it (Kami akan bincangkan perkara itu apabila tiba masa sebenar)," katanya.
PAS memang kekal sebagai pembangkang namun menjelang kedatangan PRU ke-14 yang semakin menghampiri isu calon perdana menteri menjadi antara topik paling panas diperkatakan.
Pada 7 Jan lalu Pakatan Harapan (HARAPAN) menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri jika mereka berjaya mengetepikan BN dari Putrajaya.
Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pula dinamakan sebagai timbalan perdana menteri.
Pada masa sama HARAPAN bukan saja berdepan dengan kritikan BN malah turut menghadapi kecaman PAS - yang menggerakkan kempen politik matang dan sejahtera.
Politik amat dinamik
Semalam Dr Mahathir membangkitkan persoalan siapakah tokoh yang diingini PAS sebagai calon perdana menteri mereka.
“Kita nak tahu PAS ni nak bertanding (PRU), siapa calon perdana menteri dia? Calon Najibkah, calon sayakah - itu kita nak tahu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Presiden HARAPAN di Menara Yayasan Selangor, Petaling Jaya.
Kata Takiyuddin Dr Mahathir kini nampaknya membawa "ajaran baru" dalam politik di Malaysia.
"Parti yang hendak bertanding dalam PRU perlu menamakan perdana menteri masing-masing," katanya.
Sementara itu dalam kenyataan yang dikeluarkan kemudian, Takiyuddin berkata, PAS memahami keperluan HARAPAN menamakan calon perdana menteri ekoran masalah dalaman di kalangan parti dalam gabungan itu.
Katanya, wujud juga keperluan HARAPAN untuk menamakan calon perdana menteri bagi meyakinkan pengundi Melayu bahawa mereka tidak ditunggangi DAP.
"PAS tidak mempunyai keperluan untuk menuruti langkah berkenaan. Politik terlalu dinamik untuk berbuat demikian," katanya.
Untuk rekod sebelum PRU ke-13 lalu PAS disebut-sebut pernah membincangkan kemungkinan melantik Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah sebagai perdana menteri jika Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya.
Memetik kenyataan Datuk Mustafa Ali - yang ketika itu menjadi pengarah pilihan raya PAS - Sinar Harian melaporkan Tengku Razaleigh menyatakan kesediaan meninggalkan Umno jika BN kalah.
Bagaimanapun katanya PKR tetap dengan keputusannya untuk menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
"Apabila tiba malam pilihan raya, kami berhimpun di satu hotel. Pemimpin PAS termasuk saya pun ada di situ tunggu keputusan dan saya maklum pada Tuan Guru Haji Hadi saya berada di situ, dan kalau ditakdirkan kita (Pakatan Rakyat) menang dalam pilihan raya pada malam itu, Anwarlah perdana menteri.
“Tengku Razaleigh bukan sebahagian daripada Pakatan Rakyat kerana tidak berlaku strategi yang kita rancangkan itu. Jadi, tidak berbangkit Hadi tolak Anwar sebagai perdana menteri,” katanya.