Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Kenyataan saya tentang Bintang Tiga dilapor salah konteks'
Diterbitkan:  Jan 17, 2018 11:23 AM
Dikemaskini: 3:25 AM

Pengerusi Gabungan Pembela Ummah (UMMAH) Ismail Mina Ahmad memberitahu, kenyataannya Ahad lalu yang menyebut hanya orang Melayu yang menentang Bintang Tiga telah diambil di luar konteks.

"Saya bercakap tentang Bintang Tiga. Adalah salah untuk menyamakan mereka dengan komunis kerana Bintang Tiga tidak pernah mengaku ia komunis.

“Mereka dirujuk sebagai Bintang Tiga berdasarkan simbol pada pakaian seragam dan topi mereka.

"Apa yang saya katakan ialah peristiwa dalam tempoh masa tertentu dalam tempoh dua hingga tiga minggu selepas Jepun dikalahkan. Bintang Tiga menyerang dan membunuh ramai orang Melayu.

“Pada masa itu, mereka menguasai beberapa daerah," kata Ismail, seperti dilaporkan The Malaysian Insight.

Ismail turut menafikan beliau mengeluarkan kenyataan hanya orang Melayu yang bertempur dengan Bintang Tiga.

Jelasnya, perkara itu perlu diambil dalam konteks memandangkan orang Melayu merupakan peneroka asal Tanah Melayu.

"Semuanya perlu diambil dalam konteks. Saya kata orang Melayu, sebagai peneroka asal Tanah Melayu, juga mempunyai peranan sebagai umat Islam untuk melindungi tanah mereka.

"Mereka adalah orang-orang yang berperang melawan Siam, Portugis, Jepun, Inggeris dan juga Bintang Tiga," kata Ismail lagi.

Ahad lalu, ketika berucap di Konvensyen Kebangkitan Ummah, Ismail mengingatkan hadirin tentang pengorbanan bangsa Melayu yang bergadai nyawa untuk Tanah Melayu.

Ismail turut menegaskan, perkara yang beliau katakan pada seminar berkenaan berkaitan pembunuhan orang Melayu oleh Bintang Tiga berdasarkan sejarah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS