Mursyidul Am PAS Hashim Jasin menyifatkan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menyesali perbuatannya walaupun sudah meminta maaf kepada umum baru-baru ini.
Beliau berkata ungkapan maaf sahaja tidak mencukupi kerana Pengerusi HARAPAN itu sepatutnya mengakui kesilapan dengan berjanji tidak akan mengulanginya lagi.
“Dr Mahathir sanggup buat apa sahaja (demi politik) dan sampai sekarang beliau tidak berubah perangai walaupun baru-baru ini meminta maaf.
“Saya kata minta maaf sahaja tidak cukup. Beliau sepatutnya mengaku melakukan itu dan itu serta minta maaf dengan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatan itu. Itu baru ada unsur taubat.
“Tetapi nampaknya Dr Mahathir walaupun beliau minta maaf tetapi tidak ada unsur-unsur sesalan,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia, hari ini.
Pada Perhimpunan agung BERSATU Disember lalu Dr Mahathir memohon maaf atas kesilapannya yang lalu, tetapi veteran tersebut berkata beberapa jam kemudian bahawa permohonan maaf hanya adat dalam budaya Melayu.
Hashim ketika ditanya keputusan HARAPAN menamakan Mahathir sebagai calon perdana menteri berkata rakyat di negara ini masih belum boleh melupakan kesalahan lampau yang dilakukannya ketika menjadi pemimpin negara.
'DAP akan menang banyak kerusi'
Selain itu Hashim turut menyifatkan HARAPAN seolah-olah ‘bergantung pada dahan reput’ yang akhirnya akan patah.
Sebelum ini HARAPAN mengumumkan BERSATU akan bertanding di 52 kerusi Parlimen di Semenanjung Malaysia, DAP 35 kerusi manakala PKR bertanding di 51 kerusi dan AMANAH 27 kerusi.
Mengulas mengenai perkara itu Hashim berkata DAP dilihat akan tetap menang banyak berbanding parti-parti lain.
“Walaupun kita katakan BERSATU dapat 52 kerusi, PKR 51 kerusi tetapi DAP akan menang banyak jika dibandingkan dengan parti-parti lain. Bukan bermakna BERSATU bertanding 52 menang semua dan PKR 51 menang semua.
“Mereka akan tewas, kalau tidak tewas dengan PAS, mereka tewas dengan BN. Akhirnya DAP akan mengepalai HARAPAN, parti yang paling banyak menang dalam pilihan raya,” beliau dilaporkan sebagai berkata.
Beliau juga turut menjangkakan sekiranya HARAPAN berjaya menubuhkan kerajaan, DAP tetap akan memimpin gabungan itu.
“Jika ditakdirkan HARAPAN menubuhkan kerajaan, itu pun kita boleh baca DAP akan memimpin. Walaupun DAP tidak menjadi perdana menteri, tetapi perdana menteri yang dipilih ikut kehendak DAP.
“Ini bahaya terhadap perkembangan politik Islam dan orang Melayu di negara ini,” beliau dilaporkan sebagai berkata.