Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Felda mendapat kembali tanahnya yang dipindah milik kepada Syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd melalui perjanjian yang ditandatangani pada 1 petang tadi.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang mengesahkan hal itu berkata pertukaran hak milik tanah bernilai RM200 juta itu tidak melibatkan sebarang kos.

“Semua tanah terlibat yang di pindah milik tanpa kelulusan dan pengetahuan kita telah dikembalikan semula ke Felda berserta dengan dokumen yang diperlukan untuk melaksanakan pindah milik.

“Dari 16 geran terlibat, satu (geran) dipegang Pesuruhjaya Tanah Wilayah Persekutuan, pejabat tanah wilayah. Lain-lain (geran) masih dengan kita. Kita dah dapat dan pindah milik.

“Ikut kenyataan saya edar tidak ada sebarang kos terlibat dalam pindah milik,” katanya dalam sidang media di Menara Felda, hari ini.

Katanya lagi, meskipun tanah sudah berpindah milik, namun projek Kuala Lumpur Vertical City tetap diteruskan.

“Projek itu diteruskan dan tanah dikembalikan kepada kami. Kita bukan nak berhenti projek tapi masalah kita ialah kenapa tanah perlu dipindah milik,” katanya.

Shahrir turut berkata pihaknya tidak bercadang untuk menarik balik laporan polis dan siasatan dan audit forensik yang sedang berjalan akan diteruskan.

“Siasatan polis berjalan dan akan terus berjalan. Tak ada kena mengena untuk sekat dan berhentikan sebab ada laporan polis.

“Siasatan polis tetap berjalan dan kita tak ganggu. Kita akan beri kerjasama,” katanya.

Shahrir ketika ditanya mengapa Syarikat Synergy Promenade Sdn Bhd tidak hadir sama dalam sidang media itu berkata “Dia (syarikat itu) tak nak, serah pun bukan dia serahkan (dokumen) tapi peguam dia yang serahkan”.

Pada 21 Disember lalu, media melaporkan Felda berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.

Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh bagi membangunkannya.

Susulan daripada itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman memanggil beberapa pihak untuk memberi keterangan termasuk bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berhubung perkara itu.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Amar Singh Ishar Singh, Isa disiasat mengikut Seksyen 420 iaitu berkaitan penipuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS