Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Azmin Ali dilihat tidak mempunyai keupayaan untuk memenangi kerusi parlimen Gombak.

Justeru menyedari keadaan berkenaan menteri besar Selangor itu kemudian menawarkan kerusi yang dimenanginya sebelum ini kepada calon perdana menteri Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata kemungkinan itu dilihat berdasarkan analisis yang dibuat parti terbabit iaitu, sekiranya berlaku pertembungan tiga penjuru, PKR tidak dapat mempertahankan kerusi Gombak.

“Saya tak tahu apa matlamat tersirat Datuk Seri Azmin untuk dia lepas kerusi Gombak.

"Cuma saya boleh sebut bahawa kerusi Gombak tidak selamat buat PKR berdasarkan kita punya kajian dan analisis apabila berlaku tiga penjuru,” katanya.

Zuhdi berkata demikian kepada pemberita selepas kuliah duha disampaikan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM), Taman Melewar, hari ini.

Terdahulu beliau ditanya mengenai tawaran kerusi parlimen Gombak oleh Azmin kepada Dr Mahathir pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.

Gombak merupakan kerusi dimenangi Azmin pada PRU 2013 dengan majoriti 4,734 atau 51.4 peratus undi.

Tawaran itu dibuat selepas ketika Dr Mahathir disahkan sebagai calon perdana menteri HARAPAN jika mereka berjaya memenangi PRU ke-14 yang mesti diadakan selewat-lewatnya Ogos ini.

Untuk rekod sesetengah pihak tidak dapat menerima pencalonan berkenaan, malah menganggap ada tokoh lain - termasuk Azmin - yang dirasakan lebih layak.

Dr Mahathir sebelum ini menyatakan beliau mempunyai pilihan kerusi untuk ditandingi iaitu Langkawi, Kubang Pasu atau Putrajaya.

Tak yakin selamat

Mengulas lanjut, Zuhdi juga tidak menolak kemungkinan Azmin cuba menggagalkan usaha Dr Mahathir untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.

Kemungkinan itu katanya dipertimbangkan kerana Gombak kini sukar dimenangi HARAPAN selepas PAS tidak lagi bekerjasama dengan parti pembangkang lain.

Anggapan umum ialah kemenangan Azmin sebelum ini banyak dibantu oleh penyokong serta ahli PAS di kawasan Gombak.

“Bila dia sendiri tidak selamat, saya yakin Dr Mahathir lagi tak selamat, sebab pengundi Gombak ini adalah pengundi urban (bandar).

"Mereka yang melalui reformasi dulu, mereka yang pernah ikuti zaman Dr Mahathir, mereka banyak tertekan kerana nampak apa yang berlaku (ketika era Dr Mahathir).

“Jadi kalau Dr Mahathir bertanding di sini (Gombak) ia adalah usaha untuk menggagalkan Dr Mahathir jadi perdana menteri," katanya.

Namun Zuhdi mengakui kemungkinan tersebut bersifat andaian.

“Tapi saya tidak tahu apa matlamat sebenarnya. Cuma langkah itu usaha menggagalkan Dr Mahathir jadi perdana menteri,” katanya.

Sementara itu Zuhdi yang juga Anggota Jawatankuasa Pusat PAS ketika ditanya mengenai Parti Amanah Negara (AMANAH) yang hanya diberi 27 kerusi parlimen HARAPAN berkata, parti serpihan itu memanng tidak mempunyai kekuatan.

“Dia ada pemimpin tertentu, kawasan dia tak ramai, kadang-kadang ada empat, lima orang pemimpin kawasan.

"Cawangan dia juga dia tak banyak, jadi kalau dia dapat kerusi sedikit memang patut pada saya sebab dia tak ada jentera.

“Mereka juga tidak ada pemimpin yang berkredibiliti, kalau dapat 27 kerusi pada saya memang layak sebagai sebuah parti kecil,” katanya.

Tambahnya lagi, “orang dalam AMANAH” dilihat kuat apabila bersama PAS, namun selepas keluar dari parti terbabit itu, mereka tidak lagi seperti dahulu.

“Mereka ini kuat sebab PAS yang menguatkan pemimpin mereka.

"Presiden mereka Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub (timbalan presiden) apabila keluar PAS mereka tiada kekuatan," katanya.

Untuk menarik undi serta sokongan orang Melayu, kata Zuhdi, PKR dilihat lebih berkesan berbanding AMANAH.

"AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia sama dari segi kemampuan nak tarik undi Melayu,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS