Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Azmin berkebolehan jadi PM tapi tidak dipilih

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkebolehan menjadi perdana menteri tapi tidak dipilih.

“Sudah tentu dia (Azmin) berkebolehan, tapi dia tidak dipilih.

“Berkebolehan saja tidak cukup tapi anda juga perlu dipilih.

“Saya tidak pasti jika saya berkebolehan tapi mereka pilih saya,” kata Dr Mahathir kepada wartawan selepas menghadiri forum Bicara Wawasan 2020 di Cyberjaya hari ini.

Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya alasan beliau dipilih sebagai calon perdana menteri HARAPAN dan bukannya Azmin.

HARAPAN pada 7 Jan lalu mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri, sementara Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon timbalan perdana menteri.

Pengumuman itu dibuat selepas beberapa bulan spekulasi berkenaan calon perdana menteri pakatan itu yang sebelumnya dikaitkan dengan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar bagaimanapun kini masih menjalani hukuman penjara dan dijangka dibebaskan 8 Jun depan.

Sementara itu, nama anggota parlimen Gombak yang juga merupakan timbalan presiden PKR itu turut disebut-sebut sebagai calon perdana menteri.

Selepas pengumuman Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri HARAPAN, media antarabangsa sekali lagi membandingkan bekas timbalan perdana menteri berumur 92 tahun itu dengan bekas perdana menteri Zimbabwe Robert Mugabe yang berumur 93 tahun.

Apabila ditanya berkenaan perbandingan itu, Dr Mahathir setuju mereka mempunyai persamaan.

“Sudah tentu saya seperti dia (Mugabe).

“(Tapi) dia tidak letak jawatan. Saya buat silap, saya letak jawatan,” kata Dr Mahathir, yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun sehingga peletakan jawatannya pada 2003.

Sejak peletakan jawatannya, beliau sering lantang mengkritik pengganti yang dipilihnya sendiri termasuklah Tun Abdullah Ahmad Badawi dan kini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri.

Dr Mahathir juga mengulas kenyataan anak mendiang Karpal Singh, Sangeet kaur Deo yang berkata bapanya tidak akan setuju Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri HARAPAN sekiranya bekas pengerusi DAP itu masih hidup.

“Saya fikir semua orang ada pendapat masing-masing.

“Saya tidak harap siapa-siapa menyokong atau percaya kepada saya,” katanya.

Karpal Singh dilihat sebagai antara pengkritik lantang Dr Mahathir sehingga hujung hayatnya apabila terlibat dengan kemalangan jalan raya pada 2014.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS