Paling Popular
Terkini

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pilihan terbaik dari gabungan itu untuk menyandang jawatan perdana menteri, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.

"Sekiranya kita dapat meyakinkan rakyat untuk menerima (calon PM berusia) 93 tahun, kenapa tidak? Kami (HARAPAN) demokratik.

"Kita bukan paksa rakyat untuk terima. Kami tidak berada di sini untuk memaksa rakyat untuk menerima (Mahathir) tetapi kami menawarkan (ini) adalah pilihan terbaik yang boleh kami tawarkan," katanya kepada pemberita di Gombak petang ini.

Azmin, yang merupakan timbalan presiden PKR, ditanya berulang kali berhubung keputusan HARAPAN mencalonkan pemimpin yang telah berusia itu di sebalik gesaan agar pemimpin lebih muda menerajui negara.

"Saya bukan orang muda (juga), saya berusia 53 tahun. Maksud saya adalah ini hanya cadangan HARAPAN," kata Azmin sambil menambah rakyat juga harus melihat deklarasi HARAPAN yang lain.

Selain calon perdana menteri dan timbalan perdana menteri, HARAPAN pada konvensyen Ahad lalu turut mengumumkan agihan kerusi dan komitmennya melantik bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri kelapan.

Ditanya pendirian rasmi PKR Selangor mengenai pemilihan Mahathir, Azmin hanya menegaskan bahawa resolusi yang dibentangkan dalam konvensyen HARAPAN mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan menjelang PRU14.

"Ini adalah cadangan yang ditawarkan HARAPAN maka sudah tentulah tanggungjawab pimpinan dan anggota pastikan tawaran ini diterima rakyat. Sekiranya tawaran ni dapat diyakinkan saya percaya akan dapat sokongan baik dalam PRU akan datang," kata Azmin yang juga Pengerusi HARAPAN Selangor.

Sementara itu, Azmin juga menyifatkan kenyataan awal dikeluarkan Ketua Biro Komunikasi PKR Selangor Hizwan Ahmad yang tidak bersetuju Mahathir dipilih sebagai calon perdana menteri sebagai "suara akar umbi".

'Ini bukan zaman rejim diktator'

Menegaskan perbezaan pendapat mesti diraikan, Azmin berkata sekadar menyakinkan ahli PKR sahaja tidak cukup untuk memastikan kemenangan dalam pilihan raya.

"Ini bukan zaman rejim diktator di mana rakyat dan anggota parti tak boleh beri pandangan. Jadi pandangan ni harus diraikan sementara saranan dibuat dalam konvensyen harus dilaksanakan," jelasnya.

Pada masa yang sama, beliau juga menafikan kebimbangan Mahathir akan mematikan agenda reformasi.

"Kita mahu beliau juga komited dalam agenda reformasi kita. Saya amat gembira Tun M bersedia dan komited untuk teruskan agenda reformasi dan kita terima siapa saja individu dan parti yang mahu reformasi," katanya.

Azmin juga mendedahkan bahawa beliau adalah antara pemimpin pembangkang yang terawal bertemu Mahathir di London kira-kira tiga tahun lalu untuk membincangkan perkara itu.

"Kalau ingat peringkat awal beliau sekadar ingin turunkan (Datuk Seri) Najib (Razak). Maka sivil society, masyarakat dan anggota PKR beri pandangan pada beliau bahawa sekadar tukar PM itu bukan perjuangan kita," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS