Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Parti Amanah Negara (AMANAH) akan berunding dengan parti komponen dalam Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi memastikan parti itu dapat bertanding sekurang-kurangnya di satu kerusi Parlimen di Kuala Lumpur, pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Pengarah Komunikasi Khalid Samad berkata, ia termasuklah dengan menawarkan pertukaran dengan mana-mana kerusi yang diperuntukkan kepada AMANAH.

Keputusan itu dibuat selepas mendengar luahan hati anggota AMANAH Wilayah Persekutuan dalam satu pertemuan yang melibatkan pemimpin tertinggi parti, Selasa lalu.

"Mereka beritahu apa yang mereka tak puas hati dan berkata sekurang-kurangnya perlu ada satu kerusi AMANAH di Wilayah (Persekutuan).

"Kita akan bincang dengan Majlis Presiden HARAPAN nanti dan mungkin akan minta pertukaran kerusi dengan BERSATU atau PKR, kerusi yang mereka boleh terima," katanya kepada Malaysiakini.

Malaysiakini difahamkan, AMANAH menawarkan kerusi Parlimennya di Selangor sebagai pertukaran itu.

Berdasarkan pengumuman yang dibuat dalam Konvensyen HARAPAN Ahad lalu, parti itu tidak diperuntukkan sebarang kerusi Parlimen di Kuala Lumpur untuk bertanding pada PRU ke-14.

Keesokannya, AMANAH Wilayah menggesa pimpinan parti meneruskan rundingan agar mereka diberikan satu kerusi Parlimen, terutama di Parlimen Titiwangsa.

Khalid yang merupakan anggota parlimen Shah Alam berkata lagi, rundingan untuk perkara itu akan dibuat "pada bila-bila masa".

"Kita akan jumpa pada bila-bila masa. Mungkin (Presiden) Mohamad Sabu akan pergi, mungkin saya pergi," katanya tanpa mengulas lanjut.

Sementara itu, Pengarah komunikasi AMANAH wilayah persekutuan Datuk Tarmizi Mohd Jam yang hadir pada pertemuan Selasa lalu berkata pimpinan sudah mencapai beberapa resolusi bagi meredakan rasa tidak puas hati anggota.

"Beberapa resolusi dicapai bagi mencari jalan keluar, presiden dan pasukan perunding kerusi akan mengambil tanggunjawab secara langsung," katanya di Facebook.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS