Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

Jabatan Penjara Malaysia tidak membenarkan Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertemu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini dirawat di Hospital Rehabilitasi Cheras, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Mahathir yang hadir bersama-sama Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dan Ketua Pemuda BERSATU Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Hospital Rehabilitasi Cheras pada jam 4.30 petang.

Namun, mereka dilarang memasuki kawasan wad oleh 30 pegawai Jabatan Penjara Malaysia yang berkawal.

Kecewa dengan perkara itu, pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata beliau dimaklumkan larangan dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN).

"Saya cuma nak kata saya tak dapat jumpa...Tiada sebarang sebab diberikan.

"Tapi mereka menerima arahan daripada menteri dalam negeri yang saya tak dibenarkan bertemu dengan Anwar," kata Mahathir kepada pemberita di luar wad Hospital Rehabilitasi Cheras petang tadi.

"Saya rasa sedihlah, saya cuma nak jumpa dia, nak ucap terima kasih kerana dia tidak membantah bahkan menyokong saya sebagai calon (perdana menteri)," kata Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu lagi.

Pada Konvensyen HARAPAN Ahad lalu, Mahathir dinamakan sebagai calon perdana menteri HARAPAN bagi pilihan raya umum ke-14.

Perkara sama - iaitu penghargaannya terhadap Anwar - turut disuarakannya ketika memaklumkan lawatannya itu di Twitter.

“Hari ini, Nurul Izzah jadi ‘tour guide’ saya untuk jumpa rakan lama. Rakan seperjuangan. Rakan yang banyak berkorban yang ingin saya ucapkan terima kasih.”

Nurul Izzah pula berkata, kira-kira 30 pegawai penjara sudah menunggu ketika mereka tiba di pintu bahagian wad hospital.

Mereka melarang Dr Mahathir untuk berjumpa Anwar, katanya.

Buatlah 100 permohonan pun

Mahathir berkata, perkara seumpama itu tidak pernah berlaku ketika beliau menjadi perdana menteri, walaupun digelar sebagai "diktator".

"Nak jumpa orang pun tak boleh, nak pergi tengok orang sakit pun tak boleh. Saya dikatakan diktator tapi saya tak pernah buat perkara seumpama ini.

"Datuk Seri Najib (Razak) sebenarnya seorang diktator (berdasarkan) perlakuannya. Semua patut sokong (usaha) jatuhkan beliau," katanya lagi.

Ketika ditanya adakah beliau akan membuat rayuan kepada KDN agar dibenarkan melawat Anwar, Mahathir dengan sinis berkata;

“Dalam kerajaan sekarang ini kalau kita tulis surat kepada dia, kita buat permohonan daftar HARAPAN tak jawab, kita hantar reminder (peringatan) tak jawab. Tiada respon langsung.

“Ya, kita akan cuba lagi. Saya boleh hantar 100 permohonan atau sekurang-kurangnya hantar Deklarasi Rakyat tapi ia tidak akan dibalas,” katanya.

Sebelum ini, Anwar yang menjalani pembedahan pada bahu kanannya di Hospital Kuala Lumpur pada 12 November lalu pernah menerima kunjungan Najib, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Aziz dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS