Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim: Macam mana AMANAH nak tuntut lebih banyak kerusi
Diterbitkan:  Jan 9, 2018 4:20 PM
Dikemaskini: Jan 10, 2018 4:34 AM

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng hari ini, meminta kepemimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) supaya berhenti memperbesarkan isu pembahagian kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Beliau dipetik oleh portal Berita Harian Online sebagai berkata, parti itu sepatutnya memberi tumpuan kepada strategi yang jelas bagi menghadapi BN menjelang PRU-14.

"Macam mana saya nak jawab soalan ini pun saya tak tahu kerana tidak tahu soalan berpunca dari mana, cakap macam mana nak tuntut (lebih banyak kerusi untuk ditandingi).

"Ini kita sudah umumkan dan itulah struktur pembahagian. Justeru, jangan cuba tokok tambah. Apa yang penting kita mara ke hadapan dengan suatu strategi jelas," katanya yang dipetik portal milik Umno itu.

Beliau berkata demikian ketika mengulas rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin dan ahli AMANAH yang menganggap berlaku pengagihan tidak adil bagi kerusi Parlimen parti itu.

Ahad lalu, Pemuda AMANAH Kuala Lumpur menyifatkan Konvensyen HARAPAN sebagai “hari duka” mereka.

Ini susulan kegagalan parti itu mendapat sebarang daripada 12 kerusi parlimen di Kuala Lumpur yang diumumkan tiga hari lalu.

Walaupun tidak menyatakan secara terus terang, Timbalan Presiden AMANAH Salahuddin Ayub menggesa perbincangan dalam soal pembahagian kerusi diteruskan, terutama dalam soal mengatur semula kawasan Parlimen yang diberikan kepada parti komponennya.

Beliau berkata, ia perlu dibincangkan berdasarkan aspek faktor kemenangan, kekuatan parti, sokongan pengundi dan kekuatan jentera di sesuatu kawasan.

Rasa tidak puas hati bukan sahaja diluahkan oleh AMANAH Kuala Lumpur yang mengintai kerusi Titiwangsa dan Putrajaya tetapi juga di kalangan pemimpin parti itu di Johor dan Perak.

Di Johor misalnya, AMANAH diperuntukkan dua kerusi Parlimen - Parit Sulong dan Pulai - daripada lima yang dituntut mereka.

Ia menyebabkan AMANAH Johor bertindak memboikot konvensyen Ahad lalu.

Ketika pengumuman Konvensyen HARAPAN Sabtu lalu, AMANAH mendapat agihan paling sedikit iaitu 27 kerusi Parlimen di Semenanjung untuk ditandingi, berbanding Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) (52); PKR (51) dan DAP (35).

Nota Editor: Berita yang disiarkan oleh Berita Harian Online dengan tajuk 'Guan Eng beri amaran kepada PAN'  kemudiannya tidak dapat diakses. Tiada penjelasan yang diberikan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS