Atas semangat muafakat, PKR akan menerima setiap keputusan yang dicapai pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (HARAPAN), kata Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi kenyataan yang dibaca anaknya merangkap Naib Presiden PKR Nurul Izzah, Anwar turut menggesa semua pihak dalam gabungan itu kembali menumpukan kepada soal dasar dan perjuangan yang diasaskan dua dekad lalu, iaitu pada 1998.
"Saya menggesa rakan-rakan agar tertumpu kepada soal dasar dan prinsip perjuangan...Inilah permasalahan pokok yang perlu ditelusuri dan dijelaskan kepada rakyat.
"Dengan mengakui semangat kerjsama, kita menerima keputusan pimpinan," katanya.
Seperti yang dijangka, HARAPAN hari ini secara rasmi mengumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri bagi pilihan raya umum (PRU) ke-14, dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan.
Pada masa sama, HARAPAN sepakat untuk memulakan segera pengampunan diraja buat Anwar jika mereka berjaya mengambil alih kerajaan, bagi memberi laluan kepadanya menjadi calon perdana menteri kelapan negara.
Konvensyen turut mengumumkan pengagihan kerusi Parlimen yang bakal ditandingi di Semenanjung Malaysia, yang mana BERSATU mendapat kerusi terbanyak iaitu 52 kerusi, PKR (51), DAP (35) dan AMANAH (27).
Anwar berkata, keputusan itu berjaya menyangkal serangan sesetengah pihak termasuk BN yang mereka tidak akan berjaya mencapai kata sepakat dalam rundingan.
"Mereka seperti juga sebahagian di kalangan kita kurang arif bahawa keputusan dasar perlu telus dan mewakili hasrat dan suara rakyat terbanyak.
"Marilah mengorak langkah dengan yakin menolak kezaliman...Jika semangat itu hidup segara, saya yakin insyaAllah PRU ke-14 akan mencatat era baru untuk Malaysia," kata Anwar lagi.