Barisan guru besar dan pengetua sekolah seluruh negeri Kelantan hari ini melaungkan komitmen untuk memenangkan BN dalam Pilihan Raya Umu ke-14 (PRU14), akan datang.
Laungan semangat itu dibuat di hadapan Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam satu majlis di Kota Bharu, hari ini.
Pada Majlis Kesyukuran Bersama Warga Pendidik Negeri Kelantan itu, guru besar dan pengetua yang hadir diminta berdiri oleh pengerusi majlis sebelum melaungkan kata-kata semangat menyatakan sokongan kepada BN Kelantan.
"Tukar! Kelantan! Tawan! Kelantan! Ubah! Kelantan! PRU14 Kelantan milik BN!" Begitulah antara laungan yang bergema di Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.
Selain Mustapa, turut hadir Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Pengarah Pendidikan JPN Kelantan, Muhammad Zahari Othman.
Terdahulu, dalam ucapannya Mustapa yang juga menteri perdagangan antarabangsa dan industri memberi pengharapan kepada barisan pendidik untuk bersama kepimpinan kerajaan persekutuan pada PRU14.
Menurutnya, selama hampir 28 tahun negeri Kelantan di bawah pemerintahan parti PAS tidak banyak pembangunan yang mampu dilakukan kerajaan negeri.
"Kita mengharapkan sokongan dan pertolongan dalam kita menghadapi tahun yang cukup mencabar pada PRU14.
"Kita tak akan ke mana-mana sekiranya PRU14 kita kecundang sekali lagi, segala usaha guru membantu kami tidak akan ke mana sekiranya kita di takuk lama.
Dampingi guru
"Selama hampir 28 tahun kita berada di bawah kerajaan negeri (PAS) yang tidak mampu dan banyak kegagalan untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan negeri," katanya.
Sementara itu ditanya mengenai keyakinan warga pendidik terhadap BN Kelantan, Mustapa yang juga anggota Parlimen Jeli berkata, apa yang penting pihaknya perlu mendampingi golongan guru dan menunjukkan contoh tauladan yang baik.
"Kita mesti tunjuk tauladan yang baik, tak boleh paksa dan gunakan pendekatan berhikmah saya rasa mereka akan memahami.
"Kerana mereka adalah tonggak dalam (bidang) pendidikan dan berpengaruh dan kalau kita terus mendampingi mereka saya yakin mereka boleh memastikan kerajaan kita dapat memberi khidmat yang terbaik untuk rakyat," jelasnya.