MALAYSIANS KINI | Nurul Husna Mohd Yusoff berusia 22 tahun mendapat sorotan umum baru-baru ini selepas akaun Twitter 1Malaysia memaparkan pencapaian beliau dalam World Scientist Awards 2017 di Seoul, Korea Selatan.
Husna sekarang berada di tahun kedua pengajian gabungan ijazah pertama dan sarjana dalam kejuruteraan kimia dengan pengkhususan dalam teknologi minyak dan gas di Heriot-Watt University di Putrajaya.
Dia amat meminati mata pelajaran kimi semenjak di sekolah tinggi lagi.
"Saya mendapat 98 peratus markah untuk peperiksaan kimia pertama saya dan saya mendapat markah tinggi semenjak itu, jadi saya tahu saya dapat pergi lebih jauh dengan kimia.
"Saya memilih kejuruteraan kimia kerana saya terlibat dalam projek melibatkan inovasi sejak di sekolah tinggi lagi," kata Husna dalam wawancara dengan Malaysiakini.
Anak kelahiran Pulau Pinang ini bukanlah pendatang baru dalam persaingan di arena antara bangsa.
Ketika berusia 17 tahun, Husna memenangi pingat perak pertandingan Genius Olympiad di New York, Amerika Syarikat pada 2014.
Genius Olympiad ialah pertandingan sekolah tinggi antara bangsa yang menangani isu-isu alam sekitar.
Kebanyakan projeknya, yang dirancang Husna untuk dipatenkan berkaitan dengan proses penyerapan dan pemisahan minyak.
"Saya gunakan bahan-bahan yang biasanya dibuang orang, seperti tangkai pisang, cengkerang ketam dan sisa minyak sawit.
Prototaip perangkap sampah
"Saya sedang bekerja dengan sebuah syarikat bagi mempatenkan projek saya ini. Prototaip saya ini secara asasnya untuk memerangkap sampah," katanya.
Selain meminati bidang kimia, Husna juga meminati bidang pendidikan.
Dia menghabiskan kebanyakan malamnya dengan mengajar kimia, matematik tambahan dan bahasa Inggeris kepada 45 pelajar di pusat tuisyen di Puchong.
Husna merancang untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD di United Kingdom dan menyelesaikan pengajian doktor falsafahnya menjelang usia 26 atau 27 tahun.
Walaupun Husna terbukti bagus di atas kertas dengan mendapat A untuk semua mata pelajaran dalam peperiksaan SPM dan mendapat keputusan A-levels dengan cemerlang, perjalanannya tidak semua yang indah.
Gadis muda berterus terang menceritakan kisahnya menderita kemurungan.
"Saya jatuh sakit, hilang lebih 10 kg berat badan," kenang gadis muda ini.
Dia bersyukur kerana mendapat sokongan daripada kedua ibu bapanya yang melawatnya setiap minggu dari Pulau Pinang ke bekas kolejnya di Lembah Beringin, Hulu Selangor.
Itulah sebabnya beliau menyertai Kalsom Movement, yang mengkhuskan masalah ketidaksetaraan dalam pendidikan di Malaysia. Husna ialah duta gerakan itu sekarang.