Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor memboikot Konvensyen Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini, kerana dikatakan tidak berpuash hati dengan pembahagian kerusi di negeri itu.
"Kami minta lima kerusi parlimen, tetapi dapat dua (kerusi) sahaja - Parit Sulong dan Pulai.
"Jadi kami rasa tak perlu datang. Semua pemimpin AMANAH Johor tak datang," kata Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hassan kepada Malaysiakini.
Terdapat 26 kerusi Parlimen di Johor. Pada pilihan raya umum (PRU) ke-13, DAP menang di empat kerusi parlimen dan PKR pula satu.
Satu kerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada masa ini adalah Pagoh, yang dimenangi Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika masih bersama Umno.
Pada PRU itu, bekas pemimpin PAS (kini timbalan presiden AMANAH) Salahuddin Ayub bertanding di Pulai. Kerusi itu dimenangi Datuk Nur Jazlan Mohamad (Umno) dengan majoriti 3,226 undi.
Parlimen Parit Sulong pula dimenangi Datuk Noraini Ahmad (Umno) dengan majoriti 11,753 undi, menewaskan Khairuddin Abdul Rahim (PAS).
AMANAH Perak juga
Segelintir pemimpin AMANAH Perak juga merasa tidak berpuas hati berkenaan perkara sama.
Pengerusi AMANAH Perak Asmuni Awi menyertai boikot tersebut.
"Saya sendiri tak datang kerana (isu) pembahagian kerusi, tetapi yang lain (dari AMANAH Perak) datang," katanya ketika dihubungi.
[Berita lanjut menyusul]