Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (HARAPAN) menggambarkan isu mengenai siapa calon perdana menteri daripada gabungan pembangkang itu telah pun selesai.

Bagaimanapun, mereka enggan mendedahkan butiran lanjut dan mengatakan keputusan itu hanya akan diumumkan pada konvensyen HARAPAN esok.

Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata "esok, kamu akan dengar semua pengumuman yang akan menjawab semua pertanyaan kamu".

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat HARAPAN di ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) di Petaling Jaya.

Ditanya sekiranya perkara itu turut membabitkan soal calon perdana menteri, Mahathir mengulangi "semua soalan kamu".

Mahathir, yang juga pengerusi BERSATU, berkata mesyuarat lebih lima jam yang bermula petang ini, juga menyentuh mengenai persiapan terakhir konvensyen itu esok.

Pemimpin HARAPAN lain ketika ditemui selepas mesyuarat itu juga menyampaikan mesej yang sama.

"Semua selesai. Semua umum esok" kata Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang kelihatan tersenyum lebar ketika meninggalkan bangunan itu berkata, "Lihatlah senyuman saya, saya gembira kerana semua dah selesai".

Sementara itu, Pengerusi Kebangsaan DAP Tan Kok Wai memberitahu wartawan supaya mengajukan soalan mereka kepada orang lain.

"Datang ke konvensyen esok," katanya.

HARAPAN menghadapi dilema untuk mengumumkan secara rasmi calon perdana menteri daripada gabungan itu esok.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan bahawa DAP, AMANAH dan BERSATU bersedia menerima Mahathir sebagai calon perdana menteri rasmi HARAPAN.

Bagaimanapun, PKR tidak bersetuju dan hanya boleh menerima Mahathir sebagai calon perdana menteri sementara.

Berikutan itu, Mahathir yang berusia 93 tahun pada tahun ini, berkata beliau tidak akan menjadi perdana menteri sehingga berusia 100 tahun.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS