Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dr M: Tindakan Jamal sepina saya hanya 'gimik'

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini memohon untuk mengketepikan sepina Datuk Seri Jamal Yunos ke atasnya yang bertujuan memaksa bekas perdana menteri itu tampil memberi keterangan pada saman Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah terhadap pemimpin Umno Bahagian Sungai Besar itu.

Mahathir memfailkan permohonannya pada 19 Disember tahun lalu tetapi ini hanya didedahkan hari ini oleh peguamnya, Rafique Rashid Ali dan Ilyani Khuszairi kepada pemberita di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau yang kini adalah pengerusi Pakatan Harapan berkata dirinya tidak mempunyai pengetahuan khusus mengenai saman antara Maria dan Jamal itu serta pemimpin Umno tersebut menyalahgunakan proses mahkamah.

"Jamal ada niat jahat dan cuba membuat gimik (helah) politik yang tidak relevan dengan perbicaraan," kata Mahathir dalam permohonannya.

Peguam Jamal, V Mugunthan berkata beliau memerlukan masa untuk membalas permohonan Mahathir itu kerana anak guamnya kini di Arab Saudi untuk melakukan ibadah Umrah.

Berikutan itu, Hakim Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menetapkan 15 Januari untuk sebutan kes dan kemungkinan perbicaraan permohonan Mahathir itu yang sepatutnya dijalankan hari ini.

Hakim sebelum ini menetapkan 15 hingga 18 Januari untuk mendengar saman fitnah itu.

Pada 7 Okt 2016, Maria menyaman Jamal yang merupakan Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu dan Gerakan Merah Malaysia (GMM) selaku defendan.

Dalam pernyataan tuntutan itu, Maria, 61, selaku plaintif mendakwa pada 28 Sept 2016, Jamal telah mengeluarkan kata-kata fitnah dalam satu sidang media di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra dan telah diterbitkan serta disiarkan di beberapa portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

Plaintif juga mendakwa pada 4 Okt 2016, Jamal sekali lagi mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya di perkarangan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan telah diterbitkan pada 5 Okt tahun sama di portal berita, media cetak nasional dan media elektronik.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS