Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

ULASAN l Pada tahun 1934 Parti Komunis China (PKC) telah dibantai teruk oleh soldadu Kuomintang di bawah pimpinan General Chiang Khai-shek. Mao Zedong yang mula memimpin parti telah membawa saki-baki ahli parti mengundur ke pendalaman Yenan - Utara China.

Dari Yenan, Mao menulis taktik dan strategi untuk ahli-ahli parti. Dari Yenan lahir tulisan bertajuk Mengepung Kota Dari Desa. Ini adalah lakaran strategi politik dan militer yang diajukan oleh Pengerusi Mao. Berpedomankan strategi ini Mao dan PKC akhirnya telah berjaya mendirikan Republik Rakyat China pada 21 September 1949.

Saya mengambil babak perjuangan Mao ini kerana ianya berkait rapat dengan iklim dan suasana politik tanah air kita pada masa ini.

Pada PRU13 dahulu kita melihat ombak besar rakyat yang telah bangun untuk menghumbankan Najib dan United Malays National Organisation. Pakatan Rakyat telah mendapat 52 peratus undi rakyat. Di mana-mana pun dalam dunia ini, jika sesebuah parti telah mendapat lebih daripada 50 peratus undi maka parti itu akan mendirikan kerajaan.

Ini tidak berlaku di Malaysia. Kemenangan Pakatan Rakyat telah disonglap oleh Najib. Pakatan Rakyat telah dinafikan hak ke Putarajaya.

Melayu kunci perubahan

Dengan menggunakan PRU13 sebagai rujukan - pada PRU14 ini jika ombak yang sama berlaku maka Pakatan akan menubuhkan kerajaan baru. Tapi dengan satu syarat, wajib ada lonjakan 3 ke 5 peratus sokongan baru daripada Bani Melayu.

Dalam politik Malaysia kunci perubahan ialah Bani Melayu. Tanpa Bani Melayu sampai kiamat pun Malaysia tidak akan berubah. Justeru Pakatan wajib mendapatkan sokongan undi baru dari Bani Melayu.

Jeng. Jeng. Jeng. Justeru saya mengajukan pandangan dari awal lagi agar Mahathir Mohamad dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri. Ini dalam usaha untuk mendapatkan sokongan penambahan 3 ke 5 peratus undi Melayu.

Kenapa saya berkata sedemikian? Apa sebab musabab yang meyakinkan saya untuk mengajukan pandangan sedemikian?

Jawabnya bukan kerana dedak. Jawabnya bukan saya dijanjikan kerusi DUN Gombak atau Ampang.

Saya mengajukan cadangan ini kerana saya telah melalui sekolah rakyat. Pada awal tahun 2017 yang lalu, saya telah dijemput oleh YB Raub - Ariff Sabri (gambar, atas) untuk datang berceramah ke Felda Tersang.

Turut sama berceramah pada petang itu ialah YB Tony Pua dan YB Kashturi Patto. Dua sosok ini adalah gedebe dari Parti DAP.

Jeng. Jeng. Jeng. Dalam dewan tempat kami berceramah hanya 17 orang yang datang. Lapan orang ahli DAP dari pekan Raub. Bayangkan. Bayangkan.

Bayangkan kami datang dari jauh tapi hanya dapat memberi pencerahan kepada 17 orang. Saya tidak kecewa kerana saya belum pernah ada peluang berucap di Felda Pahang. Maka untuk saya ini ‘memecah ruyung’.

Pada sebelah malam hujan turun. Ceramah kami tak sampai 10 orang yang hadir. Ini kegagalan maha hebat. Lebih gagal dari Hari Gagalis 14 Februari.

Cilaka betul. Beberapa bulan kemudian saya terbaca berita Dr Mahathir beceramah di Felda Taib Andak. Ribuan yang turun. Kemudian Dr Mahathir berceramah di Felda Jengka 8. Ribuan warga Felda turun.

Lalu saya ulang baca tulisan Mao. Maka saya yakin inilah maknanya mengepong kota dari desa. Maka saya yakin tugas suci aktivis Pakatan pada ketika ini ialah mengepong kota dari desa.

Wilayah kota, bandar dan pekan kecil - semi urban/ semi rural - telah lama berkiblat ke arah Pakatan Harapan. Warga kota dan pinggir kota telah siap siaga untuk sekali lagi menerajang Najib dan Rosmah. Warga kota telah lama menonggengkan bontot ke muka Najib dan Rosmah.

Yang masih menyokong Najib dan Rosmah hanyalah warga kampung dan warga Felda. Justeru mengepung kota dari desa adalah strategi yang ampuh untuk ke Putrajaya.

Sosok yang boleh membuka jalan ke kampung dan Felda bukan YB Tony Pua, Bukan YB Ariff Sabri, bukan Mat Sabu, bukan YB Eli Wong, atau YB Sivarasa atau YB Azmin Ali. Jauh sekali tukang hasut Hishamuddin Rais.

Kereta kebal T-14 Armata Rusia yang dapat memecah tembok batu kota Felda bernama Mahathir Mohamad. Keupayaan Mat Sabu hanya ke tahap Ito dan Aishah.

Bayangkan hanya Mahathir yang dapat menawan hati Cik Siti dan Kak Sheila. Hanya rempah rampai Mahathir Mohamad yang dapat menjerut masakan Chef Wan.

Apakah kita terlalu Lokman Adam untuk memahami ini semua? Apakah Azwan Bro telah menjanjikan kita kerusi hingga kita gagal mentafsir fakta dihadapan mata?

Kalau saya ditangkap dipenjara dan dihantar ke Kamunting - saya tetap mencadangkan nama Mahathir.

Yakinlah pilihan pertama saya ialah Anwar Ibrahim. Sosok inilah yang paling tepat untuk memimpin Malaysia pada tahap ini. Tetapi terimalah hakikat sosok yang saya pilih dan paling afdal masih dalam penjara.

Apakah kita masih Lokman Adam untuk memahami fakta ini? Atau fikrah kita telah setaraf dengan Azwan Bro?

Umur aktif

Wajib juga saya beritahu di sini apabila saya mencadangkan nama Mahathir dalam fikrah saya ialah umur Mahathir. Umur Mahahir yang lanjut ini memberi harapan kepada calon masa depan saya yang bernama Anwar Ibrahim.

Apabila Anwar dibebaskan dan kembali aktif - mungkin telah berumur 75 tahun. Maka saya akan berhujah bahawa pada satu ketika dahulu saya telah menyokong sosok yang berumur 92 tahun. Umur Anwar Ibrahim 75 tahun ini - no big deal.

Malah apabila Duterte dan Donald Trump - yang telah melintasi 70 kali Hari Krismas - menang dalam pilihanraya saya cukup gumbira.

Malah saya telah menghantar SMS kepada anak Anwar megalu-alukan kemenangan Duterte. Mungkin anak Anwar ini tidak faham apa makna di sebalik SMS saya itu.

(Hang faham atau tidak apa yang sedang aku buat ini? Atau hang dah jadi Lokman Adam? Atau hang dapat dedak dari Azwan Bro?)

Jenayah Mahathir adalah...

Wajib saya berkata jujur di sini. Ada satu perkara yang telah saya hitam putihkan beberapa kali dalam tulisan saya. Perkara ini ialah tentang kesilapan dan kesalahan Mahathir.

Jenayah Mahathir yang maha berat untuk saya bukan rasuah. Bukan kerana beri projek pada kroni? Bukan kerana Operasi Lalang? Bukan kerana menangkap para Reformis? Bukan. Bukan. Bukan.

Untuk Hishamuddin Rais - kesalahan Mahathir yang paling besar ialah menafikan Bani Melayu mendapat pimpinan dari Musa Hitam, Tengku Razaleigh dan Anwar Ibrahim. Untuk saya inilah jenayah besar Mahathir.

Untuk memahami surah jenayah ini saya bawa pembaca ke hujung minggu di akhir Jun 2017 yang lalu. Pada hari itu, saya telah berpeluang makan tengah hari dengan Husam Musa di Temerloh Pahang.

Sesudah petai dan patin tempoyak saya membuka surah untuk menghasut Husam (gambar, bawah) agar menerima Mahathir Mohamad sebagai calon Pedana Menteri jika perkara ini diperlukan.

Calon PM ini untuk saya hanya untuk mengolah persetujuan orang ramai agar datang ke lubuk Pakatan. Saya sedar malah saya pernah berpendapat bahawa - kerbau belum dibeli - tidak berguna kita bergaduh sesama sendiri tentang di mana hendak kita kandangkan kerbau ini.

Tetapi hakikatnya dalam politik pengudian atau electoral politics perlu dicadangkan nama si Polan Si Polan sebagi PM atau Menteri untuk mengolah persetujuan orang ramai.

Pada petang itu di Temerloh saya berhujah jika kita terima Mahathir ini bermakna kita kembali ke landasan asal politik Malaysia sebelum 1998 - sebelum Anwar disingkir.

Malaysia kembali untuk melihat gandingan lama Mahathir/ Anwar untuk memimpin Malaysia. Jika ini berlaku saya akan bersenang hati kerana Bani Melayu tidak dinafikan pimpinan Anwar Ibrahim.

Kenapa saya gila sangat dengan agenda kepimpinan ini?

Sejarah telah merakamkan Pak Lah (gambar) sebagai PM. Tidak perlu saya cungkil kesah Level Four atau apa yang terjadi di zaman Dolah Badawi.

Sekarang ini sejarah sedang membuktikan betapa suweynya nasib Bani Melayu kerana dipimpin oleh dua orang yang bernama Najib dan Rosmah. Inilah kepimpinan malapetaka yang menimpa Bani Melayu.

Dalam sejarah kepimpinan Bani Melayu kita melihat bagaimana dengan licik Inggeris telah menafikan Bani Melayu daripada dipimpin oleh Ahmad Boestamam, Burhanuddin Helmi, Pak Sako, Rashid Maydin atau Abdulah Sidi.

Mahathir Muhamad yang saya cadangankan kepada Husam di Temerloh pada hemat saya sedang cuba mengembalikan Malaysia ke landasan yang betul. Mahthir kini telah sedar yang dirinya telah tersilap kerana menafikan Bani Melayu dari kepimpinan Anwar Ibrahim.

Justeru kereta kebal T14 Armata butan Pakatan Harapan sedang bergerak mengepung kota dari desa untuk sampai ke Putrajaya. Amin.


 

HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

 


 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS