Naib Presiden PAS Idris Ahmad berkata, sebab partinya dianggap sebagai pembangkang yang 'sesat' di mata DAP hanyalah kerana mereka enggan tunduk kepada parti itu.
Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam yang menyifatkan PAS sudah menyimpang daripada perjuangan politiknya dan kini menjadi 'pembangkang olok-olok' dan 'sesat' sehingga dipuji Umno.
Idris berkata, kenyataan seumpama itu hanya menunjukkan sikap sebenar DAP sebagai parti politik yang angkuh.
"Sesat di neraca Lim apabila PAS tidak boleh dicucuk hidung oleh DAP. Tidak mengapalah kalau hendak tuduh PAS sesat kerana mempertahankan prinsip perjuangan kami," katanya dalam kenyataan, hari ini.
"Lagi banyak Lim serang PAS dan perjuangan Islamnya lagi baik. Biar masyarakat tahu siapa Lim dan DAP yang sebenarnya. Baru perintah satu negeri sudah tunjuk belang sebenar," katanya lagi, sambil menyifatkan kritikan DAP terhadap parti itu hanya akan menimbulkan kemarahan masyarakat, terutama orang Melayu.
Dalam sidang media semalam, Lim yang juga ketua menteri Pulau Pinang berkata anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mengambil tindakan keluar PAS kerana ingin bersama parti yang benar-benar melawan BN.
"Mahfuz mahu pakatan pembangkang yang boleh bersihkan Malaysia dari skandal Felda, 1MDB, nak benar-benar lawan BN bukan nak kerjasama secara senyap-senyap, curi-curi," katanya.
Bangkang dengan adil
Idris menyifatkan kritikan Lim itu sebagai mengarut dan tidak adil memandangkan PAS sentiasa konsisten bersuara dalam isu melibatkan kepentingan negara seperti 1MDB dan Felda.
Hanya parti itu berlaku adil dan tidak menyuarakan kritikan berdasarkan bukti, katanya lagi.
"Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah mendesak Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk 1MDB sejak tahun 2015. Presiden berpegang dengan prinsip Islam iaitu siasat dan bawa ke pengadilan.
"Sama seperti ketika Lim dihadapkan ke mahkamah dalam isu pembelian banglo mewah. Presiden berkata beliau tak bersalah sebelum dibuktikan bersalah.
"Tidak seperti Pakatan Harapan (HARAPAN), belum apa-apa sudah balun PAS dalam isu RM90 juta," katanya lagi, merujuk kepada dakwaan parti itu menerima RM90 juta wang 1MDB daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Katanya lagi, PAS juga tidak melulu-lulu menuduh parti pembangkang lain ingin bersama Umno walaupun pemimpinnya dilihat bersama-sama dengan pemimpin Umno, tidak seperti tuduhan mereka terhadap PAS.
"Ada gambar kemesraan Lim dengan pemimpin Umno. Bukan setakat berlaga pipi, malah berlaga perut. Tetapi PAS tidak sebodoh itu untuk menjadikannya modal menuduh DAP hendak menyertai BN," katanya lagi.