Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menerima permohonan maaf Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini untuk sebarang kesilapan yang dilakukan bekas perdana menteri itu selama menjadi perdana menteri.
Langkah seterusnya katanya adalah memastikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menjadi “diktator terakhir”.
“Saya terima permohonan maaf dan keterlibatan Tun Mahathir dalam usaha menyelamatkan masa depan Malaysia. Biarlah Najib menjadi diktator terakhir buat Malaysia,” katanya melalui akaun Facebook malam tadi.
Terdahulu, Dr Mahathir membuat permohonan maaf itu dalam ucapan pembukaannya di perhimpunan agung Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang pertama di Shah Alam hari ini.
Beberapa jam selepas sidang media perhimpunan itu tamat, apabila ditanya alasan beliau memohon maaf, Dr Mahathir berkata permohonan maafnya merupakan “adat orang Melayu”.
Nurul Izzah berkata permohonan maaf Mahathir membantu melahirkan kepercayaan secara progresif dan mengambil kira kebimbangan dan kepentingan ramai.
“Hanya Allah jualah yang mengetahui apa yang terbuku di sudut hati setiap manusia, dan kepada-Nya jualah kita harus serahkan sebarang penghakiman,” tambahnya.
Anggota parlimen Lembah Pantai itu juga berkata reformasi sistem wajib dilaksanakan kerana sistem yang sama telah melahirkan diktator demi diktator.
Pilihan raya umum (PRU) ke-14 dijangka bakal menjadi salah pilihan raya paling sengit dalam sejarah Malaysia, dengan Umno berdepan pakatan pembangkang yang dipimpin Dr Mahathir, yang merupakan bekas presiden dan tokoh parti itu sendiri.
BN yang kalah undi popular dalam PRU lepas dijangka akan cuba membuktikan kekuatan mereka dengan cuba memenangi dua per tiga majoriti yang dinafikan oleh pembangkang sejak dua penggal berturut-turut.
Penggal Parlimen akan berakhir pada 26 Jun 2018 yang bererti PRU ke-14 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh itu.