Beberapa jam selepas memohon maaf atas kesilapan yang pernah dilakukan selama kerjaya politiknya, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata ucapan maaf itu adalah sebahagian adat Melayu.
“Saya orang Melayu. Adat orang Melayu dia selalu minta maaf kerana kita tak tahu kat mana kita salah. Itu adat, dan sebagai seorang Melayu kita patut rendahkan diri kita.
“Selepas kita berucap ataupun kita buat sesuatu, kita minta maaf kerana kemungkinan apa yang kita lakukan itu salah dalam pandangan orang. Itu saja,” katanya kepada wartawan hari ini apabila ditanya alasan permohonan maafnya.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu berkata demikian dalam sidang media di Shah Alam selepas perhimpunan agung pertama parti itu.
Dalam ucapan pembukaannya pagi tadi, Mahathir memohon maaf atas kesalahan yang dilakukan selama penglibatannya dalam politik.
"Saya seperti manusia lain, tidak mungkin sunyi daripada berkata dan melaku kesalahan. Bukan sahaja hari ini tetapi juga selama saya berkecimpung dalam politik negara.
"Saya pohon maaf terhadap apa juga kesalahan saya selama itu," katanya.
Dr Mahathir bagaimanapun tidak menyebutkan peristiwa tertentu berhubung permohonan maafnya itu.
Sebelum ini, beberapa badan hak asasi dan ahli politik mendesak agar Mahathir memohon maaf atas pemerintahan autoritariannya selama 22 tahun sebagai perdana menteri.
Desakan permohonan maaf itu termasuklah berkenaan tragedi Memali pada 1985, Operasi Lalang pada 1987 dan pemecatan Datuk Serin Anwar Ibrahim pada 1988.
Apabila ditanya sejurus selepas ucapannya sama ada permohonan maaf itu turut ditujukan kepada Anwar, Mahathir berkata. “Anda boleh tafsirkannya mengikut apa yang anda mahu”.
Sementara itu, dalam sidang media selepas perhimpunan agung BERSATU itu, Dr Mahathir ditanya sama ada permohonan maaf itu untuk meredakan desakan pihak-pihak yang memintanya memohon maaf.
Dr Mahathir menjawab: “Seperti saya kata, adat kita (orang Melayu) untuk memohon maaf untuk apa-apa kesalahan yang orang kata saya buat.
“Sama ada saya mengaku saya buat salah atau tidak itu hal yang lain. Apa yang penting kita mesti selalu rendah diri, dan apabila berkata-kata, anda memohon maaf sekiranya menyakitkan hati sesiapa.”