Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PDRM: Lebih 10,000 anggota alami masalah hutang serius

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengetatkan lagi proses pengambilan anggota baharu bermula tahun depan dengan mewajibkan ujian sampel rambut bagi mengesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemohon.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Seri Abdul Rahim Hanafi berkata mekanisme baharu itu dijangka dilaksanakan dengan kerjasama sebuah syarikat swasta.

"PDRM memandang serius isu dadah dalam kalangan pegawai dan anggota polis kerana sejak 2010 hingga November tahun ini, seramai 2,738 orang didapati terlibat dalam penyalahgunaan dadah. Jadi, bermula tahun depan semua yang ingin menyertai pasukan (PDRM) akan menjalani ujian ini.

“Ujian ini membolehkan kita mengetahui adakah orang itu menggunakan dadah dalam tempoh lama, dengan mengambil sampel rambut untuk pengesahan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pulau Pinang, di George Town hari ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman Datuk A.Thaiveegan dilantik sebagai Ketua Polis Pulau Pinang yang baharu menggantikan Datuk Chuah Ghee Lye yang bersara wajib.

Hutang dan gaji

Abdul Rahim berkata berdasarkan kajian yang dijalankan, pihaknya mendapati 25 peratus daripada pegawai dan anggota polis yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah mengambil bahan terlarang itu sebelum menyertai PDRM.

Sementara itu, beliau berkata sehingga November lepas, terdapat 10,607 pegawai dan anggota polis yang masih mengalami masalah hutang serius berbanding 15,478 orang pada awal tahun ini.

Mereka ini hanya menerima gaji bersih tidak sampai 40 peratus daripada gaji kasar dan kebanyakan yang terlibat berusia 30 hingga 35 tahun dan 50 hingga 55 tahun, katanya.

“Mulai tahun ini pegawai dan anggota polis hanya boleh berhutang menerusi koperasi PDRM sahaja dalam usaha kami mengurangkan jumlah mereka terlibat dalam keberhutangan," katanya.

 

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS