Pendakwah dan golongan agamawan dinasihati supaya tidak terlalu fokus terhadap perkara remeh- temeh sehingga boleh menimbulkan ketegangan dalam masyarakat.
Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata pendakwah seharusnya memberi penekanan kepada isu lebih besar seperti ekonomi dan pendidikan Islam yang boleh memberi manfaat kepada semua.
“Ustaz (saya) sebenarnya tak suka ulama-ulama fokus kepada perkara-perkara yang remeh macam ini, banyak lagi perkara besar macam ekonomi, pendidikan dan sebagainya.
“Elok kita fokus benda besar lebih bermanfaat kepada umat Islam, kalau tumpu benda kecil ia tidak guna dan sia-sia.
“Ia akan timbul keresahan dalam masyarakat. Ada yang rasa bersalah, orang lain pula akan pertikaikan, ia merugikan masa dan tenaga kita,” katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu Wan Salim ditanya mengenai pandangan dikeluarkan penceramah bebas yang popular, Azhar Idrus yang melarang wanita Muslim mengambil gambar di kedai foto bukan Islam.
Azhar membuat kenyataan itu selepas ditanya mengenai hukum mengambil gambar. Jawapan berkenaan disiarkan portal dalam talian PAS, Harakahdaily Selasa lalu.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata tidak ada sebarang masalah jika wanita Islam ingin mengambil gambar di kedai bukan Islam asalkan menutup aurat.
“Kalau tutup aurat tak ada nas yang melarang (ambil gambar di kedai bukan Islam). Kita sebenarnya banyak isu seperti ini, kita tak boleh menemui hukum sebenarnya yang jelas dalam hukum dan hadis nabi.
“Yang ada adalah pertimbangan dari segi kepentingan dan kemudaratan,” katanya.
Hati-hati, kata mufti Kelantan
Mengulas perkara sama, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamed pula memberi nasihat secara umum kepada pendakwah supaya golongan agamawan tidak mengeluarkan kenyataan sehingga boleh menimbulkan masalah dalam masyarakat.
“Nasihat saya secara umum tak tuju individu, para pendakwah, ustaz, ustazah atau orang nak sampaian ilmu Islam seharusnya berhati-hati kerana dia perlu melihat nas-nas al-Quran, hadis. Mereka juga lihat realiti, kena lihat masalah dan boleh melihat menyelesaikan masalah atau tidak.
“Kita nak sampaikan ilmu Islam ini jangan sampai boleh menimbulkan masalah, kalau tak ada masalah jadi bertambah masalah, itu kita sama-sama jaga.
“Itu pandangan saya, nasihat sebagai orang tua kepada pendakwah-pendakwah kita supaya perkara yang sudah jernih jangan dikeruhkan,” katanya.
Katanya lagi, Islam sendiri mengamalkan muamalah dengan bukan Islam mengikut syarak yang telah ditetapkan.
“Dari prinsipnya Islam mengamalkan bermuamalah, berkomunikasi, berinteraksi dengan bukan Islam.
“Kalau tangkap gambar di kedai bukan Islam kalau dah tutup aurat apa masalahnya. Itu yang kita tak faham,” katanya.